Tiga tuntutan Pas terhadap Sarawak Report ditakrif lapuk, gimik politik semata-mata

KUALA LUMPUR: Dari sudut undang-undang, tiga tuntutan Pas di dalam surat mereka kepada Sarawak Report baru-baru ini bolehlah ditakrifkan sebagai “lapuk” dan hanya gimik politik semata-mata kerana isu ini telahpun tersebar sekian lama dan “damage done” kepada reputasi Pas itu sendiri, tegas Pengerusi Biro Kanun Amanah Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

Menurut beliau, kebiasaannya isu-isu seperti ini akan ditangani dengan segera oleh mana-mana pihak dengan memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang agar berita tersebut tidak disebarkan kepada umum atau terus memfailkan saman fitnah ke atas pihak yang dikatakan mengeluarkan kenyataan yang didakwa berbau fitnah.

Namun dalam kes ini, katanya, masa yang terlalu lama diambil oleh Pas dalam menangani isu ini menjadikan rakyat membuat tanggapan dan andaian yang negatif serta cenderung untuk mempercayai kebenaran kenyataan Sarawak Report tersebut.

Tindakan Pas yang baru sahaja menyerahkan “letter of demand” kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam isu RM90 juta yang dikatakan diterima oleh Pas dari Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak, adalah satu tindakan yang terlalu lembab dari sudut perundangan untuk menafikan dakwaan tersebut setelah berbulan-bulan isu itu diviralkan dan menjadi perbualan ramai.

Memberitahu Amanahdaily, Ahmad Zamri berkata, umum sudah mengetahui bahawa sejurus selepas isu tersebut digemparkan oleh Sarawak Report, Presiden Pas, Dato Seri Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan untuk memfailkan saman dalam masa yang terdekat bagi menafikan cerita tersebut.

Namun katanya, selepas berbulan-bulan ia disebarkan ke serata dunia dan pelbagai soalan dan tekanan yang diberikan, barulah pada minggu lepas Setiausaha Agung Pas, Dato Takiyuddin Hassan memaklumkan kepada ramai bahawa Pas telahpun mengarahkan peguamnya untuk menyerahkan surat tuntutan kepada Editor Sarawak Report tersebut.

“Ia bolehlah disifatkan sebagai “too late of the day” untuk Pas meremedi reputasi dan persepsi buruk yang tertanam di minda orang ramai apabila Pas hanya dilihat mendiamkan diri sekian lama dan tidak berbuat apa-apa,” kata beliau.

Ujar Ahmad Zamri lagi, sehingga kini pun masih belum ada apa-apa tindakan mahkamah yang difailkan oleh Pas terhadap Sarawak Report dan keadaan ini boleh memberikan persepsi umum bahawa isu yang ditimbulkan oleh Sarawak Report tersebut barangkali ada kebenarannya.

Jika berita tersebut hanya merupakan fitnah semata-mata, tegas beliau, sudah tentu tindakan undang-undang yang sepantas kilat akan diambil oleh pihak Pas untuk menafikannya, tetapi ini tidak dilakukan.

Beliau berkata, jika jarak jauh atau bidangkuasa yang berbeza dijadikan alasan atas kelewatan tindakan terhadap Sarawak Report ini, tentulah ia tidak munasabah kerana sebelum ini akhbar Daily Mirror yang juga berpusat di kota London pernah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Presiden Pas tetapi tindakan pantas Hanipa Maidin, peguam Pas pada masa itu dapat menyelesaikan perkara tersebut yang akhirnya akhbar tabloid itu menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf dan memberikan gantirugi kepada Presiden Pas.

“Apapun tindakan yang akan diambil oleh Pas selepas ini, hakikatnya ia tidak akan membersihkan imej dan reputasi Pas yang telah tercalar teruk dengan isu ini.

“Sebaliknya, rakyat tentu sangat mengharapkan agar Pas terus memfailkan saman terhadap Sarawak Report ini di Mahkamah di London kerana sudah pasti kita mahu melihat Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Pas sendiri beraksi di kandang saksi bagi menafikan isu RM90 juta ini,” tegas bekas calon Pas Parlimen Titiwangsa itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *