Perlembagaan sudah perjelas, Hanipa tegur ‘pengadu domba PANDAP’

Saya melihat ada dua jenis kekeliruan ditujukan terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu kekeliruan yang disengajakan dan kekeliruan yang tidak disengajakan. Bagi saya kekeliruan yang pertama itu adalah suatu kekeliruan yang tidak jujur (dishonest), manakala kekeliruan yang kedua lebih jujur sifatnya.

Saya tidak akan bicara panjang mengenai kekeliruan yang pertama kerana bagi saya kekeliruan ini datangnya dari pihak pihak yang amat tidak senang dengan kewujudan Amanah sejak dari awal lagi. Maka antara lain digelar Parti Amanah Negara sebagai PAN. Pada Facebook saya, golongan ini amat minat menggelar Parti Amanah sebagai PANDAP.

YB Hanipa Maidin, Anggota Parlimen Sepang dan Pengerusi Biro Kanun Amanah Nasional.

Menggelar Parti Amanah Negara sebagai PAN menunjukkan secara jelas yang mereka mungkin tidak pernah melihat Perlembagaan Parti Amanah Negara.

Perpatah Arab ada menyatakan “manusia menjadi musuh kepada perkara yang mereka tidak tahu”. Memandangkan golongan pertama ini tidak tahu isi Perlembagaan Parti Amanah maka mereka menjadi musuh kepada Amanah lalu menggelar Parti Amanah Negara dengan istilah PAN.

Jika orang yang menggelar Parti Amanah Negara sebagai PAN mengambil masa sedikit melihat Perlembagaan Parti Amanah Negara sudah tentu tidak timbul penggunaan istilah PAN. Ini kerana di Bahagian 1 Perlembagaan Parti Amanah Nasional iaitu di dalam Artikel 1 dinyatakan dengan jelas akronim (nama pendek) bagi Parti Amanah adalah AMANAH dan bukannya PAN.

Ada juga pihak yang mendakwa kononnya Amanah bukan parti yang berlandaskan Islam. Mungkin kerana Amanah adalah parti yang mengambil alih parti pekerja maka golongan ini merasakan Islam tidak ada tempat di dalam Amanah.

Saya menjemput pihak yang mendakwa kononnya Islam tiada tempat dalam Amanah untuk melihat Bahagian 111 khususnya Artikel 6 Perlembagaan Amanah.

Artikel 6 secara jelas menyatakan “Amanah adalah parti politik yang mempunyai matlamat dan objektif yang menghormati dan mendokong (to honour and uphold) Islam sebagai asas perjuangannya.

Mungkin ada orang yang kata Pas secara jelas sebut dalam Perlembagaannya yang Islam adalah dasar perjuangannya dan sumber rujukan Pas adalah Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma dan Qiyas.

Kenapa dalam Perlembagaan Amanah tiada dinyatakan sumber rujukan Amanah?

Jawapan saya yang pertama jika Amanah berbeza dengan Pas memang betul pun sebab Amanah bukan Pas dan tidak berniat untuk sama jauh sekali meniru Pas.

Yang keduanya, apabila Amanah menyatakan secara jelas Islam adalah asas perjuangannya, adakah masuk akal Islam yang dinyatakan itu terpisah sama sekali daripada sumber-sumbernya seperti Al-Quran, Al-Sunnah, ijma atau qiyas. Kalau ya, itu bukan Islam namanya.

Ya, sumber rujukan Pas adalah antaranya Al-Quran dan Al-Sunnah tetapi saya ingin juga tahu bila kita menggunakan sistem chai dalam proses pemilihan kepimpinan utama, agaknya di mana kita letakkan Al-Quran dan Al-Sunnah?

■ Komentar bebas Ahli Pimpinan Amanah Nasional, YB Hanipa Maidin yang juga Anggota Parlimen Sepang | 19 Disember 2016.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *