Mat Sabu gesa jentera BPR Amanah fahami 2 budaya berbeza Melayu-Tionghoa

Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengingatkan kepada lebih 400 jentera pilihanraya parti itu tentang perbezaan yang perlu ditangani dengan bijak mengenai budaya politik antara masyarakat Melayu dan Tionghoa di negara ini.

Katanya, parti pembangkang seperti Amanah wajib peduli dengan isu-isu kemasyarakatan yang mendasari masyarakat Melayu seperti KBSM – kenduri, berkahwin, sakit dan mati.

Parti pembangkang mahupun seorang wakil rakyat dalam kawasan orang Melayu, akan disenangi masyarakat setempat jika mereka berlapang dada sentiasa bersama terutama dalam acara-acara seperti majlis kenduri perkahwinan, cukur jambul, berkhatan, ziarah orang sakit, tahlil arwah, turun kubur sambut jenazah, mandi jenazah dan lain-lain.

Mat Sabu menampilkan perkara ini sewaktu berucap merasmikan Temurapat Biro Pilihan Raya (BPR) Amanah Nasional pagi semalam, 17 Disember di sebuah hotel di Klang. Lebih 400 pemimpin BPR kawasan dan negeri seluruh negara hadir melepasi sasaran awal hanya 150 peserta.

Mengulas lanjut Mat Sabu berkata, dalam politik orang Melayu, seorang wakil rakyat yang berkesan tidak dilihat sebagai pembuat dasar sebaliknya memadai mereka rajin turun padang buat gotong-royong, cuci parit, tengok orang sakit, jenguk projek terbengkalai, rajin ke masjid surau dan beri sumbangan.

Tetapi keadaan ini, sangat berbeza dalam politik orang Tionghoa, jelas tokoh Amanah yang berkarismatik itu.

“Saya pernah tanya mendiang Karpal Singh. Berapa kali YB jenguk kawasan jumpa pengundi. Dia kata, setahun sekali. Longkang tersumbat, kita ada majlis bandaran buat. Orang susah, banyak agensi kerajaan yang boleh bantu,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, pernah sewaktu beliau dalam tahanan daerah (ISA) di Bahau Negeri Sembilan, menyaksikan hari penamaan calon bagi pilihanraya umum di negeri itu.

“Masa itu Presiden MCA, Tan Koon Swan lawan dengan DAP, seorang pemandu lori balak. Lebih 2,000 orang mengiringi tokoh MCA itu ke pusat penamaan calon.

“Sementara itu, calon DAP datang dengan kereta Datsun buah kana bersama tiga orang pengiring. Keluar dewan, lambai-lambai tangan dan bersalam dengan orang ramai.

“Bila diumumkan keputusan, driver lori balak menang besar kalahkan Tan Koon Swan. Inilah politik Tionghoa,” jelas beliau.

Katanya, dalam sesebuah rumah keluarga Tionghoa, ibubapa mungkin ahli MCA, tetapi anak-anak ada yang ahli DAP, ahli Gerakan, ahli PPP, tetapi keputusan untuk mengundi parti yang mana satu banyak bergantung kepada isu-isu semasa pada musim pilihanraya.

Mat Sabu juga menyifatkan DAP berjaya mempraktikan konsep hijrah dan tidak asabiyah kenegerian atau kedaerahan dalam amalan politik mereka.

Sebagai contoh katanya, Lim Guan Eng yang berasal dari Melaka boleh bertanding dan menjadi Ketua Menteri di Pulau Pinang. Begitu juga dengan bapanya, Lim Kit Siang yang bertanding di merata tempat, semua menang.

“Saya difahamkan, MP Serdang dulu, Tio Nie Ching diberitahu tukar kawasan parlimen ke Johor sehari sebelum hari penamaan calon.

“Datang dewan penamaan calon, lambai-lambai tangan. Naik lori kempen. Bila keputusan diumum, menang.

“Hal yang sama juga terjadi kepada Liew Chin Tong dari Parlimen Bukit Bendera. Ditukar 24 jam ke Kluang, Johor. Naik lori kempen, lambai-lambai tangan. Bila keputusan keluar, dia menang. Inilah politik orang Cina,” cerita beliau.

Presiden Pas, Ustaz Fadzil Noor sertai pilihanraya kali keenam baharu boleh menang, ujar Mat Sabu sambil membuat perbandingan berbeza budaya politik orang-orang Melayu dengan Tionghoa.

Dan jika ada orang luar bertanding di kawasan Melayu, ujar beliau, pasti kedengaran cerita bukan anak tempatan jadi bualan hangat dalam kawasan itu.

Mat Sabu tidak menyangkal, budaya politik Tionghoa yang sangat tinggi ini terdapat dalam masyarakat Kelantan. Mereka celik politik politik dan mampu melakukan perubahan secara besar-besaran pada satu-satu masa.

Tegasnya, menjadi tanggungjawab seluruh jentera pilihanraya Amanah memahami dua budaya yang sangat berbeza ini – Melayu-Tionghoa – agar ketepatan strategi dan tindakan menangani semua faktor tidak rosak akibat kesilapan mentafsirkan budaya berkenaan.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *