Selamat pulang ke Kedah Tuanku Sultan yang disayangi rakyat

Hari ini tanggal 12 Dis 2016 bersamaan 12 Rabiulawal 1438 hijrah adalah hari yang bersejarah buat rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Kedah yang dapat menjadi saksi tamatnya tempoh perkhidmatan Kebawah Duli Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua. Kali pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975.

Saya adalah antara rakyat yang sempat melalui peristiwa bersejarah ini menyaksikan Kebawah Duli Tuanku menaiki tahta sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan ianya masih segar dalam ingatan.

2. Hari ini rakyat negeri Kedah menyambut kepulangan Tuanku dengan penuh rasa syukur dan bangga kerana Tuanku telah berjaya mengakhiri tempoh khidmat 5 tahun bagi kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 dan kembali dengan rasmi ke Negeri Kedah untuk terus menerajui Negeri Kedah dan memayungi rakyat Kedah Darulaman.

Sepanjang 5 tahun Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong, rakyat Malaysia sentiasa terbela kebajikannya di bawah naungan kasih Tuanku.Kasih yang Tuanku berikan sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong tetap rakyat kenang.

KEBIADABAN UMNO

3. Namun peristiwa yang menyedihkan sewaktu Duli Tuanku berada di Tahta Singgahsana Yang di-Pertuan Agong apabila kemeriahan sambutan hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah ke-88 dicemari oleh peristiwa penggulingan penyandang Menteri Besar Kedah Dato’Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir yang di kepalai oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah MB Kedah sekarang yang didalangi melalui kawalan jauh dari Putrajaya.

“Umno persembahkan tindakan tidak beradab kepada Sultan dan rakyat Kedah yang sedang dalam kegembiraan ketika itu.”

4. Suatu yang sangat tidak beradab serta kegelojohan kuasa yang melampau pimpinan Umno ialah apabila menggangu kemeriahan sambutan Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah dengan peristiwa sidang media Umno Kedah di hotel Grand Alora permulaan usaha menggulingkan Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir.Tindakan Umno telah menghilangkan fokus semua pihak terhadap kemeriahan Hari Keputeraan kepada kegilaan politik Klaptokrat (Kawaqtokrat) dan mengheret Istana Kedah demi memuaskan kemahuan nafsu Klaptokrat.

5. Amat mendukacitakan apabila Ahli Parlimen Langkawi, Yb Dato’ Ir Nawawi Ahmad mengaitkan MO1 yang disebut dalam dokumen DOJ berkaitan kehilangan wang 1MDB adalah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan bukannya ‘PM Kawaqtokrat’. Namun Tuanku yang terkenal dengan sifat lemah lembut bertenang menghadapi situasi kegilaan politik melindungi pemimpin ‘Kawaqtokrat’.

PERAMPASAN KUASA UNTUK LINDUNGI KUASA

6. Ketegasan Tuanku tercatat dalam sejarah pemerintahannya apabila berdepan dengan kegilaan kuasa politik Umno dizahirkan secara cermat melalui peruntukan kuasa perlembagaan apabila Tuanku tidak memberikan Perkenan DiRaja dalam pengwartaan Akta Majlis Keselamatan Negara yang merampas kuasa pengistiharan darurat dan diberikan kepada ‘PM Klaptokrat’ yang diluluskan oleh Parlimen dengan undian belah bahagian.

Oleh itu Akta tersebut hanya diwartakan melalui peruntukan Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan yang disebut, ‘mana-mana rang undang-undang yang tidak diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 30 hari akan menjadi undang-undang’.

7. Saya yakin tindakan Tuanku hanya semata-mata demi mengelak dari salahguna kuasa eksekutif menyelamatkan kuasa politik pemerintahan mereka.

Bagi saya tindakan Tuanku tidak menandatangani Perkenan DiRaja ke atas akta tersebut adalah ibarat protes dan undi tidak percaya terhadap PM Najib dan kerajaan yang dikuasai oleh UmnoBn. Tercatat dalam sejarah negara satu-satunya pengwartaan undang-undang yang tidak ditanda tangani perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ialah Akta Majlis Keselamatan Negara.

Tahniah Tuanku atas ketegasan melindungi negara dan rakyat. Patik percaya Tuanku mahu mendidik rakyat agar segala kecelakaan negara ini rakyat harus bijak mengguna kuasa yang ada ditangan dalam Pilihanraya Umum (PRU) nanti.

Patik berjanji akan menggerakkan usaha bagi menyelamatkan negara dan rakyat daripada tangan Klaptokrat kembali kepada kuasa Rakyat pada Pru14″.

DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
9.30am Taman Al Walid Alor Setar
12 Dis 2016/12 Rabiulawal 1438H

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *