Ahli politik menyempurnakan proses dakwah yang berperingkat-peringkat

Biasanya manusia akan berada dalam tiga keadaan. Samada tunduk kepada hawa nafsu, menggunakan aqal atau kembali kepada Penciptanya.

SERUAN MENUNDUKKAN HAWA NAFSU

Manusia sentiasa mengurus diri, keluarga, masyarakat dan negara mengikut hawa nafsu mereka yang rakus.

Maka Allah S.W.T menghantar Nabi-NabiNya untuk membetulkan diri manusia, keluarga, masyarakat malah ketika mereka mengurus dan berhukum dalam negara mereka.

‎يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka putuskan hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau MENURUT HAWA NAFSU, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. – (as-Sad 26)

Mereka menjadikan hawa nafsu mereka sebagai rujukan utama dalam setiap perkara; sehingga Allah menganggap mereka bertuhankan hawa nafsu mereka sendiri.

‎أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan HAWA NAFSUnya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? – (Al-Furqaan 43).

Mereka akan sanggup melakukan kezaliman, menganiaya, berlaku tidak adil, menyusahkan manusia seisi alam dan pelbagai warna warni kerosakan.

‎ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan HAWA NAFSU supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu MEMUTAR-BALIKKAN keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. – (an-Nisa 135)

Mereka sentiasa di bawah telunjuk syaitan yang terus menyesatkan.

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui. – (an-Nur 21)

Mereka akan nisbahkan segala kesalahan dan kerosakan dengan amalan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Mereka menafikan rahsia dan kemuliaan aqal dalam diri mereka sendiri.

‎وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka “Turutlah akan apa yang telah dturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu TIDAK MEMAHAMI sesuatu (MENGGUNAKAN AQAL) , dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? – (Baqarah 170)

KEMBALI KEPADA AQAL

Selepas berjaya menundukkan hawa nafsu dan menguruskannya, maka aqallah yang akan dimanfaatkan sepenuhnya.

‎الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang BERAQAL sempurna. – (az-Zumar 18)

Segala yang baik perlu dituturkan dengan tersusun agar ia mudah difahami. Segala yang baik akan ada sekumpulan manusia yang akan:

1. Mendengarnya
2. Mengikutinya
3. Mendapat hidayah tuhan
4. Pengiktirafan sebagai beraqal

Kita inginkan penduduk dunia khususnya rakyat Malaysia, agar memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara menggunakan aqal yang sempurna.

Kitalah yang kena membimbing dan memimpin mereka agar menggunakan aqal yang sempurna. Kekadang mereka lebih baik dari kita dalam penggunaan aqal dalam perkara tertentu.

Kesediaan berkongsilah yang akan menjadikan kehidupan ini semakin ceria.

Allah ciptakan manusia sebagai khalifah untuk mengurus, mentadbir dan mengelola bumi ini.

‎وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. -(Baqarah 30)

‎كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan UNTUK (faedah) UMMAT MANUSIA, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang BAIK dan melarang daripada segala perkara yang SALAH (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. – (Ali Imran 110)

PERTEMUAN AQAL DAN WAHYU

Kaedah feqah banyak mengajar kita bagaimana menggunakan aqal untuk mencantumkan keindahan wahyu dan erti kehidupan.

Sebab itu kita menyeru rakyat Malaysia untuk mengubah SISTEM di negara ini. Dari sistem yang mengizinkan pencerobohan hawa nafsu yang rakus dalam diri pemimpin negara dan mengawal penjawat awamnya untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Wajarkah isteri Perdana Menteri masuk campur dalam urusan negara atau penjawat awam menyimpan/memiliki jutaan ringgit di pejabat atau di rumah mereka?

Ini tidak termasuk apabila Bank Negara dapat mengesan wang Besar dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Malaysia.

‘GOOD GOVERNANCE’ atau tata urus, tata kelola dan tata tadbir negara yang baik, menjadi cita-cita seluruh rakyat Malaysia yang beraqal. Bagi Parti AMANAH Negara kita sambungkan ia dengan MAQASID SYARIAH.

Ketika kita ingin membawa seribu kebaikan untuk rakyat dan negara, kita perlu menafikan terlebih dahulu, pembawa keburukan yang akan memusnahkan kebaikan yang diusahakan itu.

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

‘Menolak kerosakan diutamakan dari mendatangkan kebaikan’.

Benar, di sana ada kaedah lain yang mengutamakan usaha membawa kebaikan ketika bersama kebaikan itu keburukan yang lebih kecil.

Aqal yang sihat sahaja mampu memutuskannya mana lebih besar ketika itu. Kebaikan atau keburukan.

Kita akan melihat keganjalan yang sangat ketara, apabila usaha untuk memulihkan ekonomi digiatkan, sedangkan kita membiarkan perompak di tampuk pemerintahan negara terus meratah harta negara dan membawa pelabur asing menguasai kepentingan negara.

Bagi para cendiakawan Islam, mereka tidak pernah melihat wahyu akan bertembung dengan hasil pemikiran aqal yang sihat. Aqal perlu ditajamkan ketika membaca wahyu. Hanya hawa nafsu sahaja yang kerap bertembung dengan aqal dan wahyu itu sendiri.

Ada kaedah fiqh yang kelihatan bertentangan dengan wahyu. Pernah dibahaskan dengan panjang lebar. Namun titik tengahnya mudah kelihatan dengan sedikit penjelasan. Sebagai contoh:

حكم العقل مقدم على حكم الشرع

‘Hukum aqal terkehadapan dari hukum syarak’.

Selepas penjelasan ramai yang menerimanya. Ia tidak bermaksud hukum syarak adalah kelas kedua.

Ia bermaksud untuk melaksanakan hukum syarak dan meletakkannya pada tempatnya, aqal perlu menilai kesediaan masa, tempat dan manusia serta alam sekelilingnya. Aqal akan membantu untuk mengubah keempat-empat elemen itu agar akhirnya bertepatan dengan wahyu.

Selagi proses perubahan belum berjalan, maka aqal akan mencari rahsia di sebalik syarak, untuk merapatkan manusia dengan syarak itu sendiri.

Yang penting sekarang kita bantu manusia agar dapat mengurus hawa nafsu mereka, agar aqal diutamakan. Nantinya aqal akan menjuruskan diri kepada Penciptanya.

■ Komentar bebas Naib Presiden Amanah, Ustaz Hassanudin Mohd Yunus | 16 Disember 2016.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *