Husam mahu rakyat diberitahu indikator keruntuhan ekonomi negara

Rakyat perlu diberi informasi jelas akan bahaya tsunami ekonomi yang sedang bergerak melanda negara ini, kata Penasihat Jawatankuasa Road Map Pilihan Raya Amanah, Dato’ Husam Musa ketika berucap pada penangguhan konvesyen nasional Amanah petang 11 Disember lalu.

“Kalau bencana ribut, tsunami, gempa bumi ada indikatornya, fenomena kejatuhan ekonomi tidak terkecuali,” ujar beliau.

Pemerintah katanya, sedang bermain dengan kaedah menjerut rakyat untuk menyokong mereka dengan cara penuh penipuan.

“Ketika rakyat kesempitan angkara tangan mereka dengan GST, peningkatan hutang domestik dan asing mereka mengapikan-apikan perpecahan rakyat menggunakan isu-isu rasis,” katanya.

Kini kata Husam, indikator seperti kenaikan harga barang, pengangguran, pembuangan kerja dan kejatuhan nilai ringgit akan berakhir dengan malapetaka ekonomi jika kerajaan sekarang terus dibiarkan berkuasa.

Amanah, katanya akan bersama rakan-rakan parti lain yang mahukan perubahan bagi mengambil alih Putrajaya dari Barisan Nasional.

“Kita bukan pembangkang sebaliknya kita pejuang bersama rakyat menyelamatkan negara yang sedang diruntuhkan mereka,” katanya.

Menyentuh parti lamanya Pas, Husam yang juga Adun Salor, menganggap parti itu telah terjerut dalam perangkap musuh.

“Mereka kini telah berada dalam jerat Umno dan sudah tidak ada jalan keluar melainkan terpaksa berbuat apa saja bagi menyelamatkan Umno yang semakin nazak,” katanya.

Di Kelantan katanya, pemimpin mereka telah menjadi pemimpin dewa yang tidak sanggup mencemar duli untuk datang ke kampung Orang Asli untuk mendengar masalah komuniti itu.

“Dari menara dewa mereka melabel dan menghina Orang Asli yang kini tersepit berhadapan himpitan kezaliman akibat aktiviti pembalakan dan ladang hutan tebang habis.

“Ramai termasuk pemimpin dewa tidak tahu pun apa itu tebang habis.

“Cara ini menyebabkan kemusnahan hutan total yang menjadikan Orang Asli yang dulunya bergantung rezeki dan bekalan air dari hutan segar hilang segala-galanya,” kata bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *