
Konvensyen Nasional 2016 AMANAH yang pertama adalah manifestasi wajah kepimpinan AMANAH, tegas Timbalan Presiden parti Islam generasi kedua itu kepada Amanahdaily.
Katanya, kepimpinan tertinggi mesti bertanggungjawab sepenuhnya apa yang telah terlakar dan terpahat sepanjang konvensyen yang berlangsung selama dua hari, 10 dan 11 Disember yang lalu di SACC Shah Alam.
Salahnudin berkata, suara lantang Ketua Pemuda, Sany Hamzan dan perwakilan Selangor yang juga Pengarah Komunikasi negeri, Jamzuri Ardani adalah sebahagian dari warna warni yang membentuk citra pesona AMANAH.
“Bila kita dah bentangkan alam untuk perwakilan menghuninya, pemimpinlah yang tampil untuk mengurus tadbir segala kerenah dan kepelbagaiannya,” ujar beliau.
Mengambil faham ayat yang Presiden AMANAH alunkan dalam pidatonya, beliau berkata, Allah boleh saja semahuNya menjadikan kita umat yang satu tetapi rahsia dan hikmah kita akhirnya jadi seperti ini.
“Kita mungkin mahu perwakilan konvensyen berbicara dengan nada yang satu tetapi kewujudan AMANAH tidak mengizinkan demikian jadinya kerana AMANAH meraikan semuanya.
“Maka kepimpinanlah menjadi pembicara bijaksana,” tegas Salahudin dengan seribu harapan.