Pidato Presiden AMANAH: Negara Rahmat Untuk Semua – Konvensional Nasional 2016

بسم الله الرحمن الرحيم
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن.

وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَڪُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَلَـٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِى مَآ ءَاتَٮٰكُمۡ‌ۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ۚ

“Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (sahaja), tetapi Dia hendak menguji kamu apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan.” – Al-Maidah:48

1. NEGARA RAHMAT UNTUK SEMUA

Parti Amanah Negara sejak dari awal penubuhannya, malah sejak dari wujudnya Gerakan Harapan Baru lagi, telah menegaskan bahawa mesej teras perjuangan politik kita ialah Islam sebagai Rahmat seluruh alam, yang mengatasi setiap fahaman sempit perkauman dan agama.

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ
“Dan Kami tidak Mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” – Al-Anbiya:107

fb_img_1481533642605

Tanpa menjadikan kepelbagaian itu satu halangan, bahkan sebaliknya menjadi cabaran dan peluang yang telah Allah S.W.T. tetapkan. Maka, Parti Amanah Negara tampil di persada politik negara menyahut seruan “fastabiqul khairat” (berlumba-lumba membuat kebaikan) dengan mengurus kemajmukan rakyat negara ini.

Kita yakin Islam boleh dihayati dengan dilaksanakan dengan lebih baik, sebagai rahmat untuk semua. Islam yang mengiktiraf kejadian manusia dijadikan dengan sifat kepelbagaian kaum, bangsa, budaya dan anutan agama seperti firman Allah dalam Surah Yunus ayat 99:

“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?”

Islam menganjurkan sikap saling membantu dalam kebersamaan untuk memperjuangkan keadilan dan kebaikan sejagat. Mengimbau peristiwa sepertimana yang pernah dilakukan oleh Ar-Rasul SAW dalam memeterai penjanjian “Hilf al-Fudhul” akan menyerlahkan tujuan dan matlamat menegakkan keadilan dan membenteras kezaliman.

Dalam keberantakan dua tekanan dan desakan, pertama dalam saff gerakan politik Islam itu sendiri dan yang kedua, krisis kepimpinan yang sarat dengan kebejatan rasuah dan salah-guna kuasa serta kemungkaran tata-kelola akibat hilang keamanahan, maka tampillah Amanah sebagai sebuah wadah politik Islam dengan wajah yang inklusif, progresif, sederhana, demokratik dan peduli rakyat.

Membawa mesej Islam sebagai Rahmat untuk Semua bukan bermakna kita dikatakan terlalu bertoleransi (liberal), sebaliknya kebersamaan itu adalah kekuatan manakala keseorangan itu adalah kelemahan. Kebersamaan juga adalah kebijaksanaan manakala keseorangan itu adalah kedangkalan dan kesombongan. Apabila kita memilih kebersamaan, kita wajar menghindari pemikiran bersifat tribal dan jumud yang hanya mementingkan kelompok sendiri.

Tujuan politik kita (Fiqh Siyasi) ialah meraikan kebersamaan namun menghormati perbezaan dan kepelbagaian. Perjuangan politik adalah urusan muamalat sesama manusia. Bersama dalam perkara muamalat bukan bermakna mesti bersama di dalam perkara aqidah. Berbeza dalam perkara muamalat, bukan juga bermakna berbeza dalam perkara aqidah.

Amanah menegaskan bahawa politik di Malaysia mestilah menolak sebarang bentuk unsur pelampau dan keganasan, samada atas nama kaum, mahupun agama. Amanah bersedia menjadi benteng yang akan menghalang sebarang bentuk kebencian kaum atau agama dari terus dijadikan agenda politik di kalangan rakyat.

Apa yang lebih dibimbangi juga ialah merebaknya pemikiran takfiri yang melanda sebahagian dunia Islam yang tempiasnya sampai ke negara kita. Golongan ini dengan mudah mengaitkan perbezaan feqah politik dengan persoalan aqidah sehingga menghukum pihak yang tidak sependapat dengan mereka sebagai sesat, munafiq, musuh Islam, dan seumpamanya.

Mereka juga menganggap kewujudan kelompok non-Muslim di negara ini lebih sebagai ancaman dan bukan sebagai rakan sesama warganegara. Politik sempit ini, ditambah pula dengan prejudis perkauman telah menghasilkan polarisasi yang amat tajam di kalangan rakyat.

konvenysen_amanah-_mat_sabu_2

Sekiranya tidak dibendung segera, perkara ini boleh membawa kebinasaan kepada negara kita. Perpecahan, keganasan, perkauman, dan politik kebencian ibarat penyakit kanser yang bakal memusnahkan kemanusiaan.

Bukankah Ar-Rasul SAW telah menunjukkan teladan yang baik untuk kita ikuti. Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda: “Aku tidak diutus sebagai tukang laknat, melainkan aku diutus sebagai pembawa rahmat.” (Hadis Muslim).

Negara yang kita impikan ialah sebuah negara madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua. Sebuah negara yang melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik, selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan dan ketelusan.

Kita mengimpikan sebuah negara di mana seluruh segmen warganegara dapat digembleng potensi, keupayaan dan kepakaran mereka, bagi membina sebuah masyarakat yang menyantuni nilai-nilai kesederhanaan, keterbukaan, demokratik, hormat menghormati, bersatu padu dan berdaya maju sesuai dengan perlembagaan persekutuan.

Parti Amanah Negara berikrar menyumbang secara komited melalui penglibatan politik bagi mencapai impian yang murni ini.

2. TADBIR URUS YANG BAIK

Allah SWT telah mencipta manusia sebagai sebaik-baik makhluk di dunia. Allah jugalah yang menetapkan bahawa segala sumber di dunia ini mesti diurus secara adil dan lestari oleh manusia. Menyantuni kemanusiaan adalah merupakan manifestasi pengabdian Al-Khaliq (Pencipta). Menyantuni manusia dan kemanusiaan di dalam konteks mengurus dan mengagih sumber yang menjadi keperluan manusia ini adalah amanah yang wajib dipenuhi oleh para penguasa di muka bumi ini.

Malangnya hari ini, umat Islam asyik membaca nas-nas agama tanpa mengamalkannya. Prinsip tadbir urus dan akhlak yang baik ada pada Islam tetapi amalan akhlak Islam ini kadang kala lebih diamalkan oleh orang-orang non Muslim seperti yang kita lihat di Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Scandinavia.

Tadbir urus yang baik merupakan tuntutan besar di dalam melaksanakan amanah pentadbiran sesebuah kerajaan. Hari ini kita hidup dalam realiti politik yang berbeza berbanding dengan zaman sebelum wujudnya “negara-bangsa”. Dalam sistem negara-bangsa, negara ditadbir secara berperlembagaan yang menjadi perjanjian yang mengikat urusan antara rakyat dengan pemerintah, dan antara rakyat dengan sesama rakyat.

konvensyen_amanah_1

Di antara ciri-ciri tadbir urus yang baik di dalam sesebuah kerajaan itu ialah memelihara keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Walaupun begitu, perlembagaan dan undang-undang adalah hasil pemikiran manusia dan ianya terdedah kepada pelbagai kelemahan dan salah guna. Maka itu, institusi semak dan imbang perlu sentiasa diperkukuhkan. Institusi semak dan imbang menuntut kepada pengasingan kuasa yang berkesan antara badan eksekutif, legislatif, dan kehakiman. Ia juga menuntut kepada sistem pentadbiran yang telus dan berwibawa.

Peri pentingnya amalan semak dan imbang ini telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَہُم بِبَعۡضٍ۬ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٲمِعُ وَبِيَعٌ۬ وَصَلَوَٲتٌ۬ وَمَسَـٰجِدُ ييُذۡڪَرُ فِيہَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ ڪَثِيرً۬ا‌ۗ

“ …Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah …” – Al-Hajj:40.

Punca utama kepada kerosakan sistem politik di Malaysia ini ialah kegagalan di dalam mengamalkan prinsip pemisahan kuasa, di mana Badan Eksekutif dilihat terlalu berkuasa manakala Badan Legislatif hanya berfungsi sebagai “rubber stamp”. Ini menyebabkan ahli-ahli legislatif kelihatan seperti hilang peranan di dalam sistem politik Malaysia. Para Wakil Rakyat lebih dilihat sebagai “pegawai kebajikan” berbanding “penggubal undang-undang”.

Masa yang dihabiskan oleh Wakil Rakyat untuk mengagihkan pelbagai peruntukan kerajaan lebih banyak berbanding masa yang diperuntukan untuk membuat penyelidikan berkenaan penggubalan undang-undang dan perancangan polisi-polisi kenegaraan.

Kegagalan dan kelemahan fungsi Badan Legislatif negara mempunyai impak yang besar. Parlimen Malaysia hanya bersidang secara purata sekitar 50-60 hari setahun. Perbahasan Sidang Parlimen pula, sebahagiannya tidak menampakkan mutu perbahasan yang boleh dibanggakan oleh rakyat. Kemudahan yang disediakan oleh Parlimen Malaysia kepada ahli-ahli Parlimen juga sangat terhad. Beberapa usaha yang pernah dibuat bagi memperkasakan Parlimen Malaysia telah ditolak begitu sahaja oleh Kabinet Malaysia.

Sangat ironi apabila Badan Legislatif dipaksa mengemis kepada Badan Eksekutif walaupun untuk melakukan beberapa usaha reformasi bagi memperkasa institusi Parlimen. Ini semua menunjukkan bahawa upaya Badan Legislatif di negara kita berada pada tahap yang sangat lemah. Jika Parlimen tidak lagi boleh menjadi ruang pembahasan terbuka, kemana lagi rakyat boleh mengadu.

Kepincangan besar yang berlaku dalam tadbir urus negara kita juga berpunca dari amalan “Politik Naungan” (Politics of Patronage) yang sangat berleluasa dan berakar umbi terutamanya di dalam masyarakat kita. Para pemimpin politik naik ke puncak kuasa bukan kerana keupayaan kepimpinannya, tetapi kerana kekuatan “naungan” yang dimiliki dari parti ‘warlords’.

Mereka yang punya wang dan jentera akan lebih mudah meraih kuasa, dan apabila kuasa telah diraih maka ia digunakan pula untuk menguatkan kedudukan “naungan” ini kembali. Seorang pemimpin politik perlu sokongan, dokongan, dan bantuan para penyokong dan aktivis untuk berjaya, dan setelah berjaya beliau perlu pula “membalas budi” penyokong dan aktivis yang selama ini membantu.

Kitaran ini akan terus membesar dan membesar tanpa henti sehingga harta negara akan akhirnya berkitar di kalangan golongan ini. Lebih ramai pendokong diperlukan dan lebih banyak wang perlu dihasilkan, dan lebih besar pulangan yang diharapkan. Budaya “politik dedak” ini melanda hampir semua parti-parti politik, terutamanya yang memerintah, samada di peringkat kerajaan persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Politik dedak ini sedang menghancurkan negara ini. Kemuncak kepada kebobrokan ini ialah apabila negara dikuasai oleh golongan kleptokrat yang merompak harta negara dalam jumlah yang sangat besar untuk kepentingan diri dan kelompok kecil disekelilingnya.

Generasi rakyat Malaysia pada hari ini malangnya menjadi saksi kepada amalan kleptokrasi yang berlaku sekarang. Ianya cukup melukakan dhamir kemanusiaan dan kerohanian di kalangan rakyat yang masih mempunyai nilai moral dan intelek yang ampuh. Ini bencana dan malapetaka besar dalam persoalan tadbir urus di negara kita.

Parti Amanah mestilah mempunyai keazaman dan kemahuan politik yang tinggi untuk menghapuskan budaya “politik naungan” (politics of patronage) yang telah menjadi punca barah politik.

3. EKSTREMISME DAN TERRORISME

Dalam membentuk negara dan masyarakat yang maju dan sejahtera kita tidak boleh menolak keperluan untuk bertindak secara sederhana, rasional dan progresif dalam semua perkara. Malangnya usaha ke arah itu agak terbantut apabila kita perhatikan di negara kita sendiri dan di peringkat global bagaimana fahaman ekstrem muncul.

Tindakan terroris semakin meluas dan membawa masalah baru kepada keharmonian antara umat manusia pelbagai ras, etnik dan agama di mana-mana sahaja. Golongan ekstremis cuba memberi tafsiran kepada sesuatu persoalan hanya dari sudut pandangan mereka sehingga beranggapan hanya pendapat, pandangan dan pendirian mereka itulah yang sah dan betul.

fb_img_1481568715348

Ini ditambah dengan sikap mereka melabelkan orang lain yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai penyeleweng, pengkhianat, kafir, munafiq dan berbagai panggilan lain sehingga ke tahap membenarkan golongan ekstremis ini melakukan keganasan dengan apa cara sekalipun bagi menegakkan apa yang mereka percayai.

Kita telah menyaksikan bagaimana kumpulan yang “tewas” dalam pilihanraya 2008 dan 2013, cuba menggunakan pendekatan perkauman dan agama secara ekstrem bagi meraih sokongan.

Golongan ekstremis ini mempunyai matlamat politik sempit dan tidak peduli terhadap kesan yang bakal terjadi hasil tindakan mereka itu. Mereka sanggup “membakar” negara asalkan hasrat dan kehendak mereka tercapai. Tidak hairanlah bagaimana dengan meniup api perkauman dan agama mereka berjaya melahirkan individu-individu yang sanggup membakar gereja, mengheret kepala lembu dalam demonstrasi (di Shah Alam misalnya) dan mudah melabelkan rakyat Malaysia berketurunan Cina yang menyokong parti Pembangkang sebagai “kafir harbi”.

Dan jangan kita lupa kenyataan berbau perkauman yang disebut Perdana Menteri merangkap presiden Umno yang menyifatkan penolakan rakyat dalam PRU-12 sebagai “tsunami Cina”.

Tidak kurang juga tindakan mereka yang berpegang kepada fahaman ekstrem agama. Kumpulan ekstremis tersebut dengan begitu mudah melabelkan individu atau kumpulan lain sebagai “kafir”. Hasilnya mereka bertindak secara keras dan radikal bagi mencapai matlamat mereka.

Malangnya kerana retorik yang dibawa, mereka dapat mempengaruhi ramai orang. Islam diselewengkan maksudnya bagi menepati pemikiran dan fahaman sempit mereka sehingga pembunuhan terhadap sesiapa sahaja yang tidak mengikut konsep dan idealisme mereka dianggap sebagai satu “jihad”.

Selain itu, kita juga tidak boleh lupa bahawa terdapat keganasan yang dilakukan oleh negara. Siapa boleh menafikan tindakan ganas yang berterusan di bumi Palestin oleh regim haram Zionis Israel.

Mutakhir ini serangan dan usaha penghapusan etnik juga dilakukan oleh regim tentera Myanmar ke atas kaum minoriti Rohingya. Penderitaan yang dialami etnik Rohingya begitu mendukacitakan. Jika diteliti, tindakan kaum majoriti ini juga didorong oleh fahaman ekstrem perkauman yang menjustifikasikan pembunuhan terhadap kaum lain yang dibenci.

4. AMANAH DAN UNJURAN EKONOMI YANG SURAM

Unjuran ekonomi global yang tidak menentu untuk Tahun 2017, menghalang Najib mencari tarikh untuk membubarkan Parlimen. Permintaan global yang lembap, terutama rakan dagang terbesar kita iaitu China terus suram dan pertumbuhan ekonomi mereka berterusan perlahan.

Segala suntikan ‘rasa sedap’ atau ‘feel good factor’ yang Najib cuba berikan untuk semua pengundi, dalam ‘Belanjawan Muruku’ baru-baru ini hanya sebagai pengalas perut. Tetapi bila kos sara hidup menggigit akibat GST dan penarikan pelbagai subsidi, mereka akan teringat pepatah orang tua ‘untung secupak rugi segantang’.

Muruku atau gula-gula ini akan segera dilupakan rakyat apabila situasi bertambah berat seperti yang disebut oleh seorang wakil Puteri dari Pahang yang berucap di Perhimpunan Agung Umno lalu. Tegas beliau ‘buka pintu, nun menghijau pokok kelapa sawit, buka almari dapur, minyak masak tak ada… tak jadi bahan lawakkah? Sambil beliau memberi peringatan keras kepada pimpinan tertinggi Umno, ‘jika pembangkang menambah 23 kerusi di kawasan Felda, maka berakhirlah pemerintahan BN yang ditunjangi Umno’.

Andainya ramalan buruk ekonomi ini menjadi realiti seawal tahun depan, Najib akan membatalkan cita-citanya untuk ‘menyerang hendap’ pembangkang. Maka cita-cita Najib untuk membubarkan parlimen dalam suku pertama iaitu sebelum Mei 2017 hanya menjadi omongan kosong beliau sahaja. Melambatkan pilhanraya pula mempunyai risiko tersendiri yang tidak kurang mengancam survivalnya.

fb_img_1481568633739

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan KDNK 4.3% untuk suku ketiga tahun 2016 ini, satu pencapaian yang agak memberangsangkan. Tetapi rakyat langsung tidak teruja dan peduli. Bebanan kos sara hidup yang amat berat ditanggung oleh majoriti rakyat khususnya golongan Bawah-40 (B-40) dan golongan Menengah-40 (M-40).

Rata-rata perhatian hari ini tertumpu kepada isu kejatuhan nilai mata wang ringgit. Rakyat merenung jauh kesan dan impak buruk nilai matawang ringgit terhadap kos kehidupan mereka yang semakin terhimpit.

Walaupun sasaran BNM untuk mengawal inflasi antara 2.5 hingga 3% pada 2016, namun pada Mac lalu Jabatan Perangkaan mengeluarkan angka 4.3%, tertinggi sejak Disember 2008. Bulan November ini, ia dilaporkan turun serendah 1.4%. Tetapi rakyat tidak lagi peduli angka-angka yang tidak bermakna buat mereka. Rakyat lebih tahu dari pimpinan negara tentang hakikat kenaikan harga dan kos sara hidup seharian, seperti di pasar basah atau pasaraya.

Nilai ringgit terus merudum iaitu 4.448, paling rendah berbanding dolar Amerika. Sejak pemilihan Presiden Amerika 8 November lalu, nilai ringgit telah susut nilai sebanyak 4.7% berbanding dolar Amerika (US$).

Pastinya kos mengimpot akan menjadi lebih mahal. Harga minyak masak pula naik sebanyak 60%. Begitu juga dengan petrol bermula awal bulan November. Ini ditambah dengan GST. Maka derita rakyat terus berlipat-ganda, bak kata pepatah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Golongan miskin bandar menjadi kelompok yang paling terjejas mengikut kajian.

Ya, polisi bakal Presiden Trump untuk menjadikan ‘America Great Again’ mencetuskan tarikan dan minat pelabur untuk pulang ke Amerika kerana jangkaan peningkatan kadar faedah dan suntikan fiskal untuk projek-projek pembangunan dan industri pembuatan. Semua ini diharapkan dapat menjana semula kerja untuk rakyat Amerika.

Persoalan terpenting buat rakyat ialah mengapa ringgit terus jatuh? Bolehkah ringgit kembali teguh? Mampukah kita memacu agenda meningkatkan ekonomi yang berprestasi tinggi dan mapan atau lestari, serta rakyat berpendapatan tinggi?

Sesungguhnya, nilai ringgit itu antara cerminan keutuhan ekonomi, ia adalah pengukurnya. Kalau penyakit, ia adalah gejala, bukan penyakit itu sendiri. Kalau pening kepala boleh diberikan ‘panadol’. Tapi jika hari-hari pening dan kuat sakitnya, mungkin pesakit mengalami barah otak. Perlu dibedah, rawatannya bukan Panadol!

Sebagai ingatan juga, pada tahun 1976 kita perlukan RM1.03 untuk tukaran 1$ Singapura, dan satu dekad kemudian sebanyak RM1.80. Pada 1997 pertukaran melonjak ke paras RM2.30 dan kini sebanyak RM3.10. Bagaimana ini berlaku?

Secara ringkas dan tegas, ekonomi Singapura telah berjaya memacu peningkatan pendapatan yang tinggi berpaksikan pertumbuhan produktiviti yang tinggi dalam proses mereka memacu pertumbuhan ekonomi. Kenapa mereka berjaya?

fb_img_1481568531979

Kejayaan Singapura dan negara-negara yang telah jauh meninggalkan kita seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan adalah kerana perancangan yang baik untuk menjana peningkatan rantaian nilai-tambah dalam menghasilkan barangan pembuatan dan perkhidmatan bernilai tinggi.

Ini diistilahkan oleh ahli ekonomi terkenal abad 20 Masehi Joseph Schumpeter (1883-1950) sebagai ‘Creative Destruction’. Tegas beliau gandingan kerja usahawan dan perahan otak golongan intelektual adalah penting untuk menghasilkan keajaiban.

Negara perlu kembali untuk memberi keutamaan kepada ekonomi sebenar dan bukan hanya kewangan, kata Pakar Ekonomi di Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Prof Jomo Kwame Sundaram yang mengkritik Belanjawaan Najib.

Parti Amanah Negara menekankan semula peri pentingnya untuk merangka dan memacu sebuah pembangunan ekonomi yang diletakkan dalam bingkai dan dasar-dasar keadilan sosial, seperti yang dianjurkan oleh tujuan-tujuan besar Syar’iah yakni Maqasid As-Syariah.

Amanah menegaskan bahawa pembangunan mesti dipasakkan di atas dasar-dasar yang kukuh dan teguh bagi memastikan keadilan sosial untuk seluruh rakyat dengan menolak sepenuhnya apa jua bentuk diskriminasi.

Amanah komited untuk memastikan pengagihan kekayaan serta peluang memajukan diri secara adil dan hidup bermaruah bukan meminta-minta, membenteras pembolotan, monopoli, pembaziran, salah-guna kuasa, rasuah dan penyonglapan oleh segelintir penguasa politik dan kleptokrat agama berpakat dengan segelintir birokrat.

Barah rasuah akibat ketamakan dan kecurangan mesti ditangani terlebih dahulu dengan sikap beramanah dan bertanggungjawab. Pendekatan menghukum perlu diletakkan pada tempat yang sesuai dan sewajarnya. Begitulah mafhum hadis Rasulullah (SAW): ‘Apa yang tidak dapat dilaksanakan dengan Kitab (Al-Quran), akan ditangani dengan Kekuasaan’.

Dengan menekankan kebertanggungjawaban, ketelusan, kompetensi serta pengukuhan kembali institusi-institusi kritikal semak-imbang cabang Eksekutif Kerajaan barulah penguasa politik dapat dipertanggungjawabkan secara telus, adil dan berkesan. Aspek pembangunan ekonomi berkait rapat dengan institusi semak-imbang yang kukuh dan berfungsi dengan baik dan berkesan.

Secara lebih khusus lagi, Parti Amanah Negara bersama Pakatan Harapan dan PPBM akan menubuhkan satu suruhanjaya bebas ke atas 1MDB bagi an yang dimengambil segala tindakan yang diperlukan berdasarkan beberapa kajian dan siasatan yang telah dijalankan khususnya oleh Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) termasuk laporan-laporan dari jurisduksi negara-negara lain seumpama Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Emirates dan yang lain.

fb_img_1481568458753

Pertama adalah untuk menarik balik status laporan itu sebagai bahan OSA dan keduanya mengambil segala tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah bersekongkol dengan perompak dalam satu konspirasi antarabangsa dalam kes pengsonglapan terbesar di dunia moden ini. Kami mahukan aset-aset yang berada di luar negara dikembalikan kepada 1MDB dan rakyat, pemilik sebenarnya. Kita akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan semua negara yang sedang menyiasat jenayah penggubahan dan pengsonglapan wang haram yang memangsakan dana 1MDB.

Atas agenda kebertanggungjawaban ini juga kami mahukan sebuah Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan yang bertujuan membuat pengauditan bebas dan forensik ke atas Felda bagi mengenalpasti prestasinya dan apa jua dakwaan salah laku sejak diambil oleh Tan Sri Isa Samad bagi menyelamat Felda sebagai institusi negara yang banyak membantu orang Melayu dan bumiputera.

5. ANTARABANGSA

Globalisasi telah menjadikan dunia ini semakin kecil dan terhubung. Hari ini tidak ada sebuah negara pun yang dapat berdiri sendiri tanpa diancam arus globalisasi. Kuasanya begitu besar hingga meruntuhkan tembok nasionalis negara-bangsa. Selain rantau Asia Barat, Selat Melaka yang menjadi laluan yang menghubungkan timur dan barat boleh menjadi zon konflik jika kita salah perhitungan.

Tome Pires yang tinggal di Melaka pada 1512-15 menyebut dalam Suma Oriental, “Sesiapa yang menjadi tuan di Melaka akan memegang kerongkong Venice”. Venice dahulu umpama barat sekarang. Sejak era Sriwijiya dan Melaka hingga kini, Selat Melaka menjadi selat rebutan timur dan barat yang membawa seribu macam khazanah dan fitnah.

Pengaruh Islam telah tersebar di Nusantara sejak seribu tahun yang lalu. Islam tersebar di Nusantara secara “persuasive” dan aman. Bagi memperkukuhkan kerjasama Islam di rantau Nusantara Parti Amanah Negara akan menjalin ikatan rakyat dengan rakyat. Amanah akan mengadakan lebih banyak hubungan dengan pertubuhan Islam yang berkongsi visi yang sama di Nusantara.

Semangat Asean yang mendukung kerjasama politik, ekonomi dan sosial di kalangan negara anggota perlu diteruskan bagi membina keamanan dan kemakmuran serantau. Tetapi Asean tidak harus menjadikan prinsip saling menghormati dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara anggota yang lain sebagai alasan untuk memejamkan mata terhadap penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana kerajaan terhadap etnik minoriti.

fb_img_1481568645809

Dalam hal ini, kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di Myanmar umpamanya perlu difahami dan diadili menurut nilai-nilai kemanusiaan. Negara-negara Asean, harus menyatakan satu sikap resmi di dalam isu-isu yang menyangkut soal kezaliman terhadap rakyat minoriti tanpa mengira agama dan kaum.

6. MEMBERDAYAKAN DAN MEMPERKASAKAN WANITA

Parti Amanah juga berusaha untuk mengangkat maruah wanita. Wanita mempunyai peranan yang amat besar dalam pembangunan masyarakat. Wanita perlu diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan secara adil dan saksama. Segala bentuk diskrimasi terhadap wanita perlu dihapuskan.

Negara ini perlu membantu wanita yang bekerja dengan meningkatkan sistem sokongan kepada wanita. Sistem sokongan yang paling penting ialah menyediakan kemudahan penjagaan bayi dan anak dengan kos yang munasabah.

Polisi kerajaan perlu menggalakkan majikan dan semua institusi awam dan swasta menyediakan ruang untuk premis nurseri dan taska.

Polisi yang anjal untuk membenarkan wanita bercuti untuk membesarkan dan mendidik anak sendiri dan kemudian kembali bekerja perlu dirangka untuk mengelakkan kehilangan tenaga terlatih dari kalangan wanita.

Seterusnya polisi kerajaan perlu menggalakkan kaum bapa turut serta terlibat di dalam penjagaan anak-anak. Jika seorang bapa memilih untuk bercuti bertujuan menjaga anak maka mereka perlu diberi kemudahan yang sama dengan wanita.

Satu pelan jangka panjang ‘safety net’ untuk suri rumah sepenuh masa perlu difikirkan. Sumbangan mereka dalam menyediakan insan untk membangunkan negara perlu dihargai. Adalah dicadangkan satu skim takaful ala KWSP atau PERKESO yang diselia kerajaan untuk memastikan hari tua kaum ibu ini terbela.

7. ANAK MUDA MENDEPANI MASA DEPAN

Pemuda dan pemudi di pelbagai peringkat kepimpinan adalah harapan masa depan parti dan negara. Semangat dan kreativiti mereka perlu diraikan bersama dalam perjuangan ini.

Peranan penting anak muda dalam menggerakkan perubahan bukanlah satu fenomena baru. Sejarah menunjukkan bahawa anak mudalah yang sering mempelopori perubahan sosial dan politik.

fb_img_1481568488549

Nelson Mandela hanya berusia 34 tahun ketika beliau memimpin gerakan anti-apartheid di Afrika Selatan. Aktivis Malcolm X berusia 39 tahun sewaktu dibunuh. Begitu juga Saidina Ali dan Muhammad Al-Fateh yang menjadi panglima perang dalam usia muda.

Saya mengharapkan agar anak muda senantiasa bersedia dalam mendepani pelbagai kemungkinan.

Cabaran ekonomi yang dihadapi anak muda pada hari ini begitu kritikal. Kadar gaji berbanding kenaikan berterusan kos sara hidup menyebabkan nilai gaji yang diterima menyusut. Ini berbeza dengan zaman 80-an dan sebelumnya. Tidak ramai anak muda pada hari ini yang mampu memiliki rumah yang selesa akibat himpitan gaji yang rendah, kos sara hidup yang tinggi, pinjaman PTPTN dan harga rumah yang semakin mahal.

Sikap tidak peduli kerajaan Umno-BN terhadap generasi muda hari ini dapat dilihat melalui Belanjawan 2017 apabila kerajaan sengaja menggalakkan rakyat berbelanja dengan berhutang.

Kita tidak mahu insiden 26 Oktober di jambatan Pulau Pinang (kes bunuh diri) berulang kembali akibat tekanan kos kehidupan. Dan andainya ada yang merancang untuk melakukan sedemikian, jangan putus asa. Bersama kami untuk melakukan perubahan dan tumbangkan kerajaan yang bolot, boros dan rakus ini.

Parti Amanah perlu ke hadapan untuk mendengar denyut nadi permasalahan anak muda dan seluruh segmen rakyat dalam mencari penyelesaian yang tepat. Parti Amanah juga perlu ditampilkan sebagai “government in waiting” yang bersedia memikul amanah ini. Anak muda perlu mengorak langkah berani untuk mencabar sistem yang telah dikorupkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

8. MENDEPANI PRU-14

Kepincangan pentadbiran BN telah membawa krisis yang memberi kesan buruk terhadap rakyat dan negara. Hari demi hari, rakyat dan negara terus dibebani masalah ekonomi akibat peningkatan kos sara hidup, pembaziran dan rasuah.

Semakin lama krisis ini berlanjutan, semakin teruk beban rakyat. Ini diburukkan lagi dengan permainan politik perkauman sempit yang melaga-lagakan rakyat berbilang kaum.

fb_img_1481568378335

Justeru kita perlu berusaha untuk membentuk reformasi total ke atas sistem sosio-ekonomi dan politik tanah air selaras dengan perlembagaan negara.

Bagaimanapun, tugas untuk mengalahkan UMNO-BN bukanlah mudah. Ini kerana setelah hampir 60 tahun berkuasa, UMNO-BN seperti sudah tidak tahu malu dan segan lagi. Mereka menggunakan segala sumber dan cara untuk kekal berkuasa. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam PRU-13 yang lalu.

Sistem ‘First Past The Post’ terus menjadi beban kepada pembangkang. Ia sebaliknya memberi kelebihan berterusan kepada UMNO-BN yang mengambil kesempatan dari kuasa pemerintahan yang mereka miliki. Kita juga menjangka, SPR akan terus menjadi alat kepada UMNO-BN.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya 2016 menunjukkan beberapa elemen manipulasi (gerrymandering) telah dilakukan secara sistematik.

Untuk berdepan dengan sebuah gabungan politik yang sanggup menggadaikan maruah negara seperti UMNO-BN, parti-parti pembangkang perlu membentuk sebuah kerjasama politik yang tersusun, bersatu padu, bermatlamat dan mempunyai hala tuju yang jelas.

Sesebuah kerjasama politik yang ingin menjadi pesaing kepada UMNO-BN perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas, serta diikat dengan perjanjian dan persefahaman yang utuh. Hanya kerjasama politik seperti ini sahajalah yang mampu memberi jawapan kepada dilema politik di negara kita.

Saya melihat hingga kini, hanya Pakatan Harapan yang mempunyai persediaan ke arah itu. Dan kita sedar bahawa semangat politik semata-mata untuk mengalahkan UMNO-BN, tanpa disertai komitmen untuk membina kerjasama politik yang padu, tidak mampu melakukan reformasi total ke atas sistem sosio-ekonomi dan politik tanah air.

Parti Amanah Negara kini telah bersedia untuk menggalas cabaran getir bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Parti Amanah Negara membawa konsep inklusif dan menekankan pendekatan fiqhul-waqi’, iaitu kefahaman mengenai realiti kehidupan manusia dan persekitarannya. Kita mengambil sikap serius untuk menyelesaikan permasalahan kehidupan manusia berdasarkan fiqh Islam yang fleksibel.

Parti Amanah akan terus berpaksi kepada politik budiman, mengurus perbezaan pandangan dan akan berjuang bersama-sama rakan Pakatan Harapan ke arah perubahan politik di negara ini. Kita mempunyai keazaman yang kuat melalui Pakatan Harapan untuk memenangi PRU-14 melalui penyusunan gerak kerja pilihan raya dan juga pengukuhan organisasi. Parti Amanah menyokong semua tuntutan Bersih termasuk pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih dan memperkukuhkan demokrasi berparlimen.

fb_img_1481339855110

Parti Amanah bersama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah komited untuk menubuhkan sebuah kesatuan pembangkang bagi mengadapi Umno-BN pada PRU-14 dengan penetapan satu logo, satu manifesto dan satu gerak kerja…insyaAllah

9. Rumusan

Adalah diharapkan agar seluruh warga Amanah terus pergiatkan usaha membina organisasi di semua peringkat, disamping melipatgandakan usaha untuk memperkenalkan dan membuat penerangan tentang Amanah serta Tawaran Politik kita untuk seluruh Rakyat Malaysia. Meskipun unjuran ekonomi agak suram dan muram untuk Najib membubarkan Parlimen dalam suku pertama tahun 2017, beliau sebenarnya lebih berdepan dengan risiko yang lebih besar, seandainya ditangguhkan sehingga hujung tahun apabila kes 1MDB mula dibicarakan di 6 buah badan perundangan negara asing.

Pun begitu, saya peringatkan semua agar membuat persiapan lebih awal lagi. Kita mengharapkan yang terbaik, namun mesti bersedia dengan senario paling buruk.

Di samping itu, sayugia saya ingatkan amat penting untuk kita sentiasa bertindak dalam semangat setiakawan Pakatan Harapan dan gabungan yang lebih luas lagi hari ini yakni bersama PBBM. Sebab kita adalah Parti Amanah, maka pastikan sifat ini mesti kita hayati bermula dengan diri kita dan ahli keluarga kita dahulu, sebelum dapat kita cernakan dalam masyarakat dan negara kita… insyaAllah.

Semoga Allah membantu dan sentiasa memberi kita ketajaman bacaan politik dan pedoman taufiq-Nya, untuk mampu kita mengemudi perjuangan yang semakin kompleks dan mencabar ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *