AMANAH Sik terbuka rai Maulidur Rasul untuk menyuburkan rasa kasih

Parti Amanah Negara Kawasan Sik mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam.Sepertimana yg kita ketahui bahawa sambutan ini adalah bagi memperingati Rasullullah S.A.W .Mungkin ramai yang terlupa berkenaan sejarah Sambutan Maulidur-Rasul dan mungkin ada yang mengingatinya.Maka Amanah Sik sekali lagi berkongsi ilmu untuk pengetahuan kita bersama.

Sambutan Maulidur Rasul amalan seumpama ini tidak pernah ada pada zaman Nabi dan pada masa selepas baginda. Sambutan ini hanya mula diadakan secara besar-besaran pada awal kurun ketujuh Hijrah dan orang pertama yang melakukannya ialah seorang raja di Irbil (di Iraq) al-Sultan Muzaffarud-Din Abu Sa^id al-Kukibri ibn Ali ibn Baktatin ibn Muhammad al-Turkamani (wafat 630 H) dan beliau adalah ipar kepada al-Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang masyhur.

Beliau telah mengumpulkan para ulama yang terdiri dari kalangan ahli hadis dan ahli sufi yang benar untuk sambutan Maulidur Rasul. Beliau menyambut Maulid pada setiap tahun dengan sumbangan mata wang dinar dan makanan yang sangat banyak.

Sehingga kini, biasanya sambutan Maulid ini disambut dengan meriah oleh umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia dengan pengisian ceramah, bacaan qasidah yang mengandungi pujian buat Rasulullah, bacaan Maulid, bacaan al-Quran, berselawat dan bersedekah.

Antara Hukum dan dalil Sambutan Maulidur Rasul ialah seperti ..
Firman Allah SWT mafhumnya: “Katakanlah dengan anugerah Allah dan rahmat-Nya maka hendaklah mereka bergembira dengan anugerah dan rahmat itu kerana itu lebih baik daripada perkara yang mereka kumpul” (Surah al-Anbiya’, ayat 58).

Sabda Nabi selepas ditanya tentang puasa hari Isnin; mafhumnya: “Itulah hari yang aku diputerakan padanya dan diturunkan wahyu padanya” (Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan al-Bayhaqi)

Ada Antara ulama muktabar yang menganggap sambutan Maulid ini sebagai bidaah hasanah atau sunnah hasanah… contohnya ialah:

1) al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani iaitu seperti dalam gubahan puisi beliau,
2) al-Hafiz al-Sakhawi iaitu dalam kitab fatwa beliau,
3) al-Hafiz al-Suyuti iaitu dalam kitab beliau Husnul-Maqsid fi Amali`l-Mawlid,
4) al-Hafiz Ibn Dihyah iaitu dalam kitab Maulid beliau al-Tanwir fi Mawlid al-Bashir al-Nadhir,
5) al-Hafiz al-Shaykh AbduLlah al-Harari al-Habashi iaitu dalam kitabnya al-Rawa’ih al-Zakiyyah fi Mawlid Khayri`l-Bariyyah dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun, Amanah Sik meraikan dengan rasa gembira hari sambutan Maulidur Rasul dengan bertujuan mengukuhkan hati dan jiwa.  Ini berdasarkan firman Allah; mafhumnya: “Dan semua kisah dari rasul-rasul kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya kami teguhkan hatimu” (Surah Hud, ayat 120).

Juga dapat menzahirkan kegembiraan kita terhadap Nabi Muhammad sebagai rahmat untuk sekalian alam kerana Allah taala berfirman; mafhumnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) dengan anugerah Allah dan rahmat-Nya, maka hendaklah mereka bergembira dengan anugerah dan rahmat itu kerana ia lebih baik daripada perkara yang mereka himpunkan” (Surah Yunus, ayat 58).

Menyuburkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah. Nabi bersabda ; mafhumnya: “Seseorang di kalangan kamu bukanlah seorang yang beriman sehingga aku menjadi orang lebih dicintai dari dirinya sendiri, anaknya, isterinya dan seluruh manusia” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Wallaualam

Sulaiman Ibrahim@LemanRL
Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Sik
12 Dis 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *