Mufti Perlis tegur penganjur pertandingan memancing selit unsur judi

Mufti Perlis, Dato’ Mohd Asri Zainal Abidin mengingatkan umat Islam tentang kewujudan unsur-unsur judi dalam pertandingan memancing ikan yang dikenakan kepada para peserta dan jika gagal mendapatkan ikan dalam tempoh beberapa minit yang ditetapkan maka wang pendaftaran tersebut hangus.

Dengan tidak menyebut nama tempat, beliau menulis pada akuan facebooknya semalam, terdapat pertandingan demikian dalam lawatannya ke satu pusat pameran beberapa hari lepas.

Jelas beliau, dalam Islam judi atau qimar adalah haram dan tersenarai dalam dosa-dosa besar. Qimar atau judi bermaksud ‘setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah’.

“Dalam qimar atau judi ada pihak yang rugi dan yang untung atas pertaruhan tersebut. Hal ini berlaku dalam kebanyakan pertandingan seperti joran, teka jumlah benda dan lain-lain negara in,” ujar beliau.

Wang pertaruhan yang dinamakan ‘yuran penyertaan’ yang diambil itu katanya dijadikan hadiah untuk yang menang, atau keuntungan kepada pengajur atas kekalahan peserta terbabit.

Pembayaran wang penyertaan kebanyakannya bukan untuk kemudahan yang dinikmati oleh peserta, sebaliknya sebagai wang pertaruhan, kata beliau lagi.

“Ini terbukti seperti setiap peserta dikehendaki membayar berdasarkan mata pancing yang digunakan. Wang yang terkumpul itu juga dijadikan hadiah, atau keuntungan penganjur jika peserta gagal.

“Unsur pertaruhan itu jelas. Biasanya, lebih besar pertaruhan, lebih lumayan hadiah,” tegas Dr Mohd Asri.

Beliau yang turut dikenali sebagai Dr Maza berkata, sebenarnya yuran penyertaan itu jika sekadar caj khidmat atas yang disediakan seperti makan minum, sewaan dan seumpamanya, maka itu tidak menjadi judi dan pertaruhan.

Namun, tegasnya, apabila ia menjadi keuntungan penganjur atas ‘kekalahan’ peserta, maka itu adalah satu perjudian.

Beliau mengemukakan dalil Surah Al-Maidah: 90 sebagai hujah yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Dan dari Surah Al-Nisa: 29 yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah).”

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *