#TangkapMO1: 4 pelajar UM didapati bersalah sertai himpunan haram

Pihak berkuasa tatatertib pelajar Universiti Malaya (UM) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 16B Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 menjatuhkan hukuman bersalah ke atas empat penuntutnya hari ini yang terlibat dalam himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (MO1).

Malaysia Dateline melaporkan, mereka adalah Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan), Anis Syafiqah Md Yusof yang juga pelajar Fakulti Bahasa dan Linguistik serta tiga mahasiswa Akademi Pengajian Islam iaitu Suhail Wan Azahar, Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Fazli.

Keempat-empat aktivis kampus berkenaan yang juga dikenali sebagai kumpulan #Malaya4 dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

Mereka antara lain dituduh merosakkan nama baik universiti dan memudaratkan ketenteraman awam kerana menyertai demonstrasi berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu di ibu negara, 27 Ogos lalu.

Anis paling awal menjalani prosiding selama dua jam di sebelah pagi yang dipengerusikan pensyarah Jabatan Pengajian Media, Prof Dr Azizah Hamzah dengan tiga pertuduhan termasuk menganjurkan dan memanggil himpunan Tangkap MO1.

Perbicaraan ‘marathon’ di mahkamah universiti itu menyaksikan Luqman Hakim Fazli mengakhiri prosiding itu kira-kira pukul 6 petang tadi dengan empat pertuduhan termasuk didakwa menceroboh kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak pada 20 Ogos lalu.

Terdahulu, Suhail ketika dihubungi Malaysia Dateline memberitahu bentuk hukuman ke atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya masih belum lagi ditentukan.

“Keputusan hukuman belum ada. Baru keputusan bersalah atas tuduhan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, mahasiswa Fakulti Undang-Undang UM, Daniel Mizan Qayyum yang juga salah seorang wakil dalam prosiding #Malaya4 memberitahu bahawa pihak pendakwa mengemukakan dua bukti pertuduhan ke atas #Malaya4.

Bukti itu adalah surat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada UM berhubung perlanggaran Akta Perhimpunan Aman dan surat balas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada e-mel yang dihantar oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar, Hirman yang memaklumkan tiada kebenaran untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

“Surat PDRM bukan bukti sahih. Hanya mahkamah punya kuasa untuk tentukan dan jatuhkan hukuman jika terdapat perlanggaran undang-undang.

“DBKL nyatakan bahawa hanya Dataran Merdeka tidak diberi kebenaran tetapi tidak termasuk hadapan Sogo atau jalan-jalan lain yang disebut dalam pertuduhan,” bidas Daniel dipetik daripada status Facebook beliau baru-baru ini.

Sementara itu, pihak Kesatuan mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk menandatangani petisyen mendesak Naib Canselor UM, Tan Sri Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin supaya menggugurkan pertuduhan ke atas #Malaya4 melalui https://goo.gl/jxnZj1.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *