Dr Aziz Bari akui Mahathir ada hak hadiri istiadat Agong 13 Disember ini

Dr M ada hak hadiri istiadat Agong, kata pakar perlembagaan

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai “hak” untuk menghadiri istiadat menandatangani surat sumpah Yang di-Pertuan Agong, kata pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.

“Jika benar jemputan yang diberikan kepada Dr Mahathir telah ditarik balik, maka Majlis Raja-Raja atau Istana Negara perlu jelaskan perkara itu.

“Sebagai bekas Perdana Menteri dan memegang gelaran Tun, Dr Mahathir mempunyai hak untuk berada di sana,” kata Aziz dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Aziz, istiadat pertabalan Agong adalah upacara penting bagi negara dan ia perlu mengatasi politik kepartian.

Pejabat Agong adalah simbol kuasa dan perpaduan negara dan bukan di bawah arahan atau pengaruh kerajaan semasa, katanya.

“Kita tak perlu keliru tentang tugas perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak mengikut nasihat kerajaan.

“Ini adalah sebahagian daripada kerajaan berparlimen, yang memerlukan kerajaan bertanggungjawab kepada ahli parlimen di Dewan.

“Tetapi ini bukan bermakna baginda adalah ‘rubber stamp’ dan tidak mempunyai maruah sebagai ketua negara,” kata Aziz.

Beliau berkata sudah tiba masanya Majlis Raja-Raja menegaskan kuasanya sebagai penjaga monarki.

Tambahnya, raja-raja tidak boleh membenarkan institusi itu dilihat sebagai jurucakap kerajaan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu tidak dijemput menghadiri majlis istiadat menandatangani surat sumpah jawatan Agong pada 13 Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh 5 Disember daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kepada Mahathir.

Melalui surat itu difahamkan Mahathir diberitahu bahawa jemputan kepadanya untuk istiadat berkenaan dibatalkan.

Surat tersebut didakwa disampaikan kepada Pengerusi Bersatu itu bagi mengelakkan sebarang “kesipuan” (embarrassment).

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *