AES: Prosiding mahkamah masih beku, kompaun turun RM150, pengguna ditipu

Pada 18 Disember 2012 Jabatan Peguam Negara Malaysia telah mengumumkan pembekuan semua prosiding mahkamah berkaitan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Sehingga hari ini semua prosiding masih dibekukan dan tiada sebarang petunjuk bahawa ianya akan disambung semula. Dalam keadaan tersebut, saman-saman AES masih terus dikeluarkan terhadap pengguna jalanraya yang didakwa melanggar undang-undang dan peraturan.

Sejak 25 Februari 2015 pemilikan dan pengendalian AES telah bertukar tangan daripada syarikat pengendali asal iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan ATES (M) Sdn Bhd kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui anak syarikat miliknya iaitu Irat Properties Sdn. Bhd. Isu berkaitan status saman-saman AES masih berlegar difikiran pengguna.

Kami di Sekretariat Protes AES (ProtAES) sering kali diajukan soalan berkaitan status saman-saman AES ini. Adakah ianya sah? Adakah ianya perlu dibayar? Adakah jika tidak dibayar kompaun yang ditawarkan, mereka perlu ke mahkamah? Jika tidak bayar, adakah akan disenarai hitam? Jika tidak hadir mahkamah, adakah akan dikeluarkan waran tangkap dan pelbagai soalan lain.

Persoalan-persoalan ini muncul kerana pihak Kementerian Pengangkutan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Peguam Negara tidak bertanggungjawab dalam tindakan mereka malah hanya mementingkan faktor kewangan daripada menyelesaikan masalah pengguna.

Kami di ProtAES secara konsisten menolak perlaksanaan AES yang berteraskan keuntungan kewangan di mana-mana pihak yang akhirnya menekan pengguna.

Terbaru Menteri Pengangkutan pada 1 Disember 2016 dilaporkan berkata bahawa kompaun bagi kesalahan melibatkan AES telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri ditetapkan pada kadar RM150 bukan RM300 seperti dahulu. Menteri juga turut meminta penerima saman AES supaya mengambil peluang harga runtuh tersebut untuk menyelesaikan saman AES yang mana kegagalannya akan diambil tindakan lanjut dalam tempoh enam (6) bulan. Dalam hal tersebut juga Menteri masih tidak menyatakan bila tempoh enam (6) bulan tersebut bermula dan berakhir.

Persoalannya ialah kenapa tidak diumumkan permulaan tempoh enam (6) bulan tersebut? Kenapa ditetapkan kompaun RM150? Kenapa tidak diumumkan bila penguatkuasaan semula prosiding mahkamah?

Kementerian tidak mengumumkan permulaan tempoh enam (6) bulan kerana mereka masih tidak tahu bagaimana hendak menguatkuasakan AES. Kementerian masih belum sedia dengan sistem dimerit yang akan diserapkan bersama AES. Kementerian masih tidak tahu bagaimana hendak menguruskan saman-saman AES yang dikhabarkan lebih kurang 2.5 juta telah dikeluarkan selama ini. Kementerian gagal mendapatkan kerjasama daripada agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Peguam Negara dan Mahkamah untuk menyelesaikan isu saman-saman yang telah dikeluarkan.

Justeru Kementerian mengambil jalan mudah menawarkan jumlah kompaun RM150 supaya pengguna tertarik dan terus membayar tawaran kompaun. Selesai masalah Kementerian dan duit pun dapat. Apa jenis Kerajaan yang bersikap begini?

ProtAES ingin maklumkan kepada penerima saman AES bahawa tawaran kompaun tidak perlu dibayar. Kompaun hanyalah sekadar tawaran penyelesaian. Tidak membayar kompaun tidak salah di sisi undang-undang. Jika kompaun tidak dibayar, pihak JPJ perlu membawa penerima saman ke Mahkamah untuk dituduh. Sekarang Jabatan Peguam Negara masih tidak memberikan kebenaran untuk dibawa ke Mahkamah, maka saman-saman AES tidak mempunyai apa-apa kuatkuasa sekiranya kompaun tidak dibayar. Penerima saman AES juga tidak boleh disenarai hitam kerana saman-saman tersebut tiada kuatkuasa. Yang tidak meneruskan saman ialah JPJ bukan pengguna. Jadi pengguna tidak boleh dipersalahkan atas kelemahan JPJ.

Ya saman-saman AES itu sah dikeluarkan tetapi ianya tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang. Ianya seperti kereta tiada minyak.

Kementerian sengaja membuat tawaran kompaun RM150 dan tidak menetapkan tempoh kerana dengan itu pengguna akan membayar dan Kementerian khususnya JPJ akan dapat mengutip duit dengan cara mudah.

Adakah anda hendak atau rela duit anda diperolehi secara mudah oleh JPJ? Pilihan di tangan anda.

ZULHAZMI SHARIFF
Pengerusi
Sekretariat Protes AES (ProtAES)
5 Disember 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *