Surat terbuka untuk Najib: Rakyat derita dalam topeng bangsa, agama dan negara

Wahai DS Najib yang arif lagi bijaksana. Saya meneliti ucapan perasmian anda. Platform persidangan yang sewajarnya membicarakan hal-hal permasalahan rakyat kalian cemari dengan menghentam Tun Dr.Mahathir, Muhyidin Yassin, DS Shafie dan lain-lain pemimpin. Saya bukan penyokong tegar mereka. Tetapi mendengar ucapan-ucapan yang dikeluarkan dari mulut-mulut kalian membuat saya sebagai rakyat ini merasa benci dan semakin muak kepada UMNO-BN.

Tidak kalian sentuh mengenai masalah 1MDB, minyak naik, gula naik, petrol naik, fee perkhidmatan awam naik dan lain-lain kenaikan. Sebagai warganegara Malaysia yang terjamin haknya dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, saya berhak ingin tahu kenapa 1MDB ini terlalu kebal sehingga rakyat tidak boleh pun bersuara mengenainya?

Kenapa tiada penjelasan dari lidah DS Najib sendiri mengenai skandal 1MDB? Laporan PAC dikelaskan sulit, walhal apa-apa perkara yang meilibatkan rakyat yang mengundang persoalan masalah dalam dan luar negara perlu dijelaskan kepada awam.

Platform yang sepatutnya membawa suara rakyat, yang mendengar keluhan rakyat dan mendengar suara akar umbi dari setiap perwakilan dijadikan platform untuk menegakkan benang yang basah. Rakyat tidak bodoh, ini bukan zaman mimpi dan kopi-kopi sepertimana zaman Pasca Merdeka.

Kalian hebat melaungkan slogan “Demi Bangsa, Agama dan Tanah Air”, hakikatnya, ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapak. Kalian tidak sedar, bahawasanya;

1) DEMI BANGSA yang kalian laungkan, berapa ramai Melayu & Bumiputera yang merempat, tidak punya kerja, kaum ini juga yang ramai tidak terbela, semakin tertindas dengan dasar pemacu laju ekonomi kononnya. Inikah yang dikelaskan sebagai demi membela BANGSA?

2) DEMI AGAMA yang kalian perjuangkan, hakikatnya kalian menakut-nakutkan orang Islam sendiri yang ada di Malaysia untuk menolak kalian kerana kepincangan pentadbiran dan ketirisan yang kalian lakukan. Rasuah, penyelewengan dan salah laku amanah yang kalian perbuat bukan kecil-kecil masalahnya membuat rakyat terasa derita. Tunduk kepada kemahuan Bukan Islam yang menolak RUU355 didalam Parlimen? Tidak memboikot dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar isu Rohingya ditindas? Inikah yang dikatan demi AGAMA?

3) DEMI NEGARA yang kalian war-warkan, tidak nampak lagi Orang Cina jual pelbagai aset negara kepada Orang China, tapi kalianlah pemimpin Melayu Tok Dalang pengurus jual beli harta negara kepada China. Investment apa sampai aset negara dijual dan menjadi milik orang lain? Hebat. Nama wangi Malaysia juga tercemar kerana terpalit sama kes melibatkan 1MDB yang dicipta kalian.. Inikah yang dikatakan demi NEGARA?

Mengenai isu skandal “Derma 2.6B”, kalian kuat mengkritik dan menghentam DAP dan NGO (Bersih) bahawa Soros terlibat dalam menaja, tapi tidak kalian sentuh tajaan “2.6 Biliion” itu siapa yang menderma. Pelbagai VERSI kenyataan mengenainya, ada yang kata DERMA AHLI UMNO, ADA YANG KATA TIADA DERMA, ADA YANG KATA TIDAK TAHU PUN. Mana rakyat mahu percaya?

DS Najib serang DAP, kononnya kalau DAP memerintah kepentingan Melayu dan Bumiputera terjejas. Jangan gunakan Bangsa dan Agama untuk menakut-nakutkan Melayu dan Bumiputera. Dalam sedar tidak sedar, kalian juga berhubungan dengan MCA dan Gerakan yang juga merupakan kaum Cina. Apa beza DAP & MCA-Gerakan? Apa semua ini? Mereka juga Cina.

Tidak akan terhapus FELDA, MARA, PNB pun kalau UMNO-BN tidak memerintah. Banyak parti Melayu lain lagi yang jujur untuk rakyat. Ini retorik semata-mata, menggunakan Bangsa dan Agama demi keberlansungan pemerintahan. Cukup-cukuplah, rakyat tidak bodoh.

PERSIDANGAN AGUNG UMNO yang dulunya hebat dalam membela Melayu dan Bumiputera kian pudar gagahnya kerana itu bukan lagi platform membela, tetapi platform untuk melindungi perompak, menghentam pemimpin pembangkang lain dan menegakkan benang yang basah.

Syukurlah saya masih waras dalam membuat segala tindakan, jika tidak, televisyen dirumah ini saya ingin campak dari atas bangunan kerana Saluran Nasional tajaan anda TV1 & TV3 ini seolah-olah entiti yang tidak dapat membezakan mana benar mana yang batil dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat kebanyakan.

Apapun kedudukan anda wahai DS Najib yang dihormati, tunduklah dan abdikan diri anda kepada Allah dan rakyat yang memilih mu, jangan sekali tunduk pada nafsu dan ketamakan. Para pemimpin lain yang bijaksana dan bijak sana sini, rakyat ada akal dan otak untuk menilai setiap apa yang kalian lakukan dan nyatakan, saya menagih satu kecelikan dari anda bila membuat kenyataan penerangan kepada rakyat. Jangan bila mana minyak naik, kalian suruh rakyat jangan masak. Itu tidak menyelesaikan masalah, malahan membibitkan lagi kebencian kepada pemerintahan UMNO-BN.

Sekian, Wasalam.

Rafi Rahman
USM, Penang
1 Disember 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *