Faiz Fadzil gesa anak muda tolak sentimen rasis Pemuda Umno

Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO YB Khairy Jamaluddin (KJ) yang menyokong kenyataan Perdana Menteri bahawa DAP akan memerintah negara ini jika UMNO hilang kuasa amat menjengkelkan dan tidak mencerminkan sifat kepimpinan masa depan negara.

Ucapan yang berbaur perkauman ini boleh memprejudiskan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini yang menjadi tulang belakang pembinaan dan pembangunan Malaysia. Ternyata, slogan 1Malaysia yang disorak kerajaan telah diabaikan oleh KJ semata-mata bagi memastikan UMNO terus kekal ditampuk kekuasaannya.

UMNO mendakwa mereka adalah parti politik yang mewakili orang Melayu. Ironinya, bukan isu orang Melayu yang diperjuangkan, tetapi DAP yang diserang. DAP hanya bertanding di kawasan yang majoritinya penduduk bukan Melayu di mana dalam PRU ke-13 yang lalu, hanya 51 daripada 222 kerusi parlimen yang ditandingi mereka.

fb_img_1480647061923

Penduduk Cina di negara ini pula hanya sekitar 24 peratus. DAP pula tidak bertanding menentang UMNO dalam pilihanraya. Justeru, dalam keadaan ini, bagaimana DAP mampu untuk memerintah negara ini?

Serangan terhadap DAP ini adalah satu bentuk intimidasi politik ke atas orang Melayu sedangkan penolakan orang Melayu terhadap UMNO itu tidak pun akan memenangkan DAP tetapi parti politik lain yang bakal menentang UMNO seperti KEADILAN, AMANAH dan BERSATU.

Hak dan kepentingan orang Melayu akan terus dipertahankan dan diuruskan dengan lebih baik jika orang Melayu memilih calon Pakatan Harapan yang berpegang kepada prinsip urustadbir yang baik dan integriti sebagai asas perjuangan dan transformasi sistem pemerintahan. Hak keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan akan terus kekal dan tidak akan diganggu.

Amat malang apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dijadikan medan membangkitkan api perkauman tanpa membincangkan masalah anak muda dan penyelesaiannya. Anak muda kini dibelenggu dengan masalah sosioekonomi yang semakin meruncing antara lain peluang pekerjaan, kebanjiran pekerja asing, GST, kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barang, harga rumah dan kos pengangkutan awam serta hutang pendidikan.

Masalah-masalah ini berpunca daripada salah urustadbir dan penyelewengan kerajaan yang diterajui UMNO. Korupsi menjadi musuh utama negara hari ini hingga mewujudkan pemerintahan kleptokrasi. Anak muda pula dihalang dan dinafikan hak mereka dalam memperjuangkan maksud sebenar demokrasi.

Perlu juga disedari bahawa hutang negara yang mencecah RM800 bilion akan ditanggung oleh rakyat. Kehidupan dan masa depan anak muda serta generasi mendatang begitu terancam kerana terpaksa mewarisi hutang yang melampau tinggi ini. Kehidupan orang Melayu yang susah hari ini berpunca daripada penyelewengan dan kelemahan pentadbiran UMNO. Institusi dana awam orang Melayu seperti FELDA, MARA dan Tabung Haji pula menanggung kerugian dan hutang yang begitu banyak. Melayu akan binasa jika korupsi terus berkuasa.

Menjadi lebih parah apabila isu rasuah terutama penyelewengan 1MDB oleh Perdana Menteri pula gagal ditegur oleh KJ seolah-olah kepimpinan korupsi akan diteruskan jika UMNO kekal berkuasa. Tetapi ianya bukanlah sesuatu yang pelik kerana KBS yang diterajui oleh KJ sendiri terpalit dengan kes penyelewengan dana sebanyak RM100 juta.

Kepimpinan korupsi dan kleptokrasi bukan budaya yang sihat untuk masa depan negara dan anak muda. Anak muda harus dididik tentang integriti dan solidariti masyarakat majmuk. Dua elemen asas ini mampu melonjak negara kita ke tahap yang lebih baik dan maju.

Justeru, masanya telah tiba untuk anak muda tidak kira Melayu atau bukan Melayu, di bandar atau luar bandar, profesional atau buruh bangkit secara total menolak kepimpinan UMNO. Anak muda bukanlah “machai” kepada pemerintah yang korup dan zalim.

Hegemoni hanya UMNO pembela orang Melayu harus ditolak kerana sentimen perkauman yang dicanangkan oleh KJ ini tidak membebaskan anak muda daripada kemelut penderitaan kehidupan hari ini. Jika tidak ia akan kekal menjadi deja vu.

FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA
AMANAH NASIONAL

3 DISEMBER 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *