Najib dicabar buktikan institusi Islam yang telah dilenyapkan oleh DAP

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak didesak menunjukkan bukti institusi Islam manakah yang telah lenyap setelah Pulau Pinang dan Selangor jatuh ke tangan DAP atau Pakatan Harapan selama 8 tahun, cabar Setiausaha DAP Selangor, Ng Tien Chee.

Katanya kenyataan Najib yang mendakwa institusi Islam akan lenyap sekiranya negara ini jatuh ke tangan DAP seolah-olah taktik beliau untuk menakut-nakutkan umat Islam demi mengekalkan kuasa beliau sebagai seorang kleptokrasi terkenal di dunia.

DAP, jelas beliau, walaupun merupakan sebuah parti politik yang memperjuangkan negara sekular sepertimana yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, bukan sahaja tidak menganiaya Islam malah memperkasakan Islam di Pulau Pinang sejak mengetuai pimpinan negeri tersebut sejak tahun 2008.

Untuk rekod, mengikut perangkaan, sebanyak RM37.25 juta diperuntukkan untuk hal ehwal Islam pada 2009, RM39.60 juta (2010), RM65.27 juta (2011), RM66.38 juta (2012), RM55.13 juta (2013) dan RM52.21 juta (2014) manakala pada zaman BN di Pulau Pinang, peruntukan untuk hal ehwal Islam hanya RM25.49 juta, tambahan pula, ia tidak pernah memberi satu sen pun kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Manakala di Selangor pula, elaun guru-guru Kafa telah dinaikkan dari RM800 kepada RM1500 oleh kerajaan negeri pada tahun 2016.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM983 juta untuk hal ehwal Islam pada tahun 2016 dan ia merupakan peruntukkan yang tertinggi dalam sejarah Selangor.

Menurut Tien Chee lagi, jika berbanding dengan pentadbiran UMNO, Najib, sehingga kini belum lagi memberi penjelasan yang memuaskan mengenai isu pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) dengan harga RM2860 sekaki (RM188.5 juta) daripada 1MDB oleh Tabung Haji.

Tanah tersebut merupakan tanah kerajaan yang hanya bernilai RM60 sekaki dan ini bermakna lebih kurang RM184.5 juta wang umat Islam yang diamanahkan kepada Tabung Haji dibelanjakan untuk menampung keuntungan serta kekayaan 1MDB, tegas beliau.

“Mengapa Tabung Haji tidak boleh membeli tanah tersebut terus dengan kerajaan dengan harga RM60 sekaki?

“Kenapa pula keuntungan dan kekayaan daripada transaksi tanah tersebut tidak diberikan terus kepada umat Islam melalui Tabung Haji?” Tanya beliau yang juga Adun Belakong.

Tien Chee menegaskan, DAP menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini dan ia bukan sekadar laungan slogan tetapi ia terbukti dengan fakta.

Beliau mendakwa, Kerajaan UmnoBN yang terbukti menganiayai Islam demi kekayaan.

“Apa gunanya UMNO melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Hidup Islam’ tetapi melakukan penyelewengan dan rasuah yang menyusahkan serta menggadaikan kepentingan umat-umat Islam, ” tegas beliau.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *