PAU 2016 muflis, Umno kini dibadai penyakit 3R yang sangat kronik – Mujahid

Semenjak pendakian Najib di atas puncak kuasa Umno, saya agak pesimis terhadap cita-cita 1Malaysia yang dilaungkannya. Najib Tun Razak mahu dikenali sebagai tokoh yang menyatukan berbagai kaum di Malaysia pada waktu perpaduan nasional terancam dengan gegaran nuansa rasis dan dogmatik agama memecahkan suasana harmonis rakyat Malaysia.

Saya telah menulis tentang kemunculan Najib sebagai Presiden Umno dalam nada yang sinis dan pesimis. Pertama, Najib naik dalam palitan skandal ke atasnya sebagai Menteri Pertahanan iaitu skandal Scorpene (kapal selam yang tidak boleh selam!) melibatkan komision 500juta melalui Razak Baginda.

fb_img_1480701238803

Kedua, dikaitkan dengan Altantuya melibatkan pembunuhan kejam wanita cantik Monggolia atas isu Scorpene yang sama. Ketiga, isterinya Rosmah Mansor sudahpun dikenali semasa suaminya menjadi Menteri Pertahanan dikaitkan dengan wanita boros mencampuri urusan suaminya.

Ketiga faktor keperibadian kepimpinan Najib sudah cukup untuk diragui, namun penonjolan Najib sebagai ‘saviour’ kepada Umno menguasai pendakiannya dan palitan isu tenggelam dalam ‘kegilaan’ ahli Umno menyanjung Najib sebagai penyelamat.

Najib mempamerkan dirinya sebagai penyatu bangsa, dia memperkenalkan National Unity Blueprint bagi meyakinkan selain Melayu bahawa dia serius mahu melihat perpaduan nasional tercapai.

Dia berbangga dengan menubuhkan MKPN (Majlis Konsultatif Perpaduan Negara) atau NUCC pada November 2013 di mana ‘end product’ ialah penghasilan Pelan Perancangan Perpaduan Nasional atau National Unity Blueprint. Pakej Perpaduan Nasional termasuk memansuhkan akta hasutan diganti dengan akta keharmonian nasional.

Saya sendiri dilantik sebagai Ahli Majlis MKPN dan diberi tanggungjawab dalam Jawatankuasa Perundangan dan Polisi antaranya ialah menderafkan akta keharmonian nasional.

fb_img_1480647061923

Belum sempat hasil MKPN diumumkan Najib ditekan ahli Umno yang semakin agresif menolak ide perpaduan nasional Najib dan akta hasutan terpaksa dikekalkan. Najib gagal meyakinkan Umno atau Umno terlalu rasis untuk memahami keperluan masadepan yang lebih progresif dan inklusif.

Malangnya Najib tunduk pada tekanan rasis ahli Umno dan sekaligus telah gagal membawa aspirasi Bangsa Malaysia. Beliau hanya menjadi penyelamat bangsa Melayu Umno.

Kepada sesetengah orang Melayu, pimpinan Najib sendiri ditolak di mana mereka tidak lagi homogenous dalam menyatakan aspirasi Melayu. Orang Melayu menolak Umno kerana parti Melayu itu dipalit najis rasuah dan pemimpinnya mewajarkan 1MDB dan 2.6B atas ‘kemelayuan’.

Pewajaran retorik Melayu atas perbuatan ‘khianat’ duit rakyat amat jelik bagi maruah seorang Melayu. Nama Melayu jadi buruk kerana parti Umno, justeru mereka tidak mahu dikaitkan dengan perbuatan Najib dan konco-konconya.

Malu dengan nama buruk Umno bawah Najib mereka memberontak dengan kelahiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau singkatannya Bersatu.

fb_img_1480701465911

Umno turut ditolak oleh orang Melayu kerana parti Melayu itu menyokong perkauman sempit dan menyokong tindakan Melayu rasis. Orang Melayu sudak jelak dengan manusia seperti Jamal Baju Merah, Dato’ Tajudin Rahman dan juak-juak Umno yang kononnya ‘paling Melayu sangat’.

Orang Melayu dah muak dengan sikap dogmatik Umno yang mahu dilihat Islamik dengan Melayu-Islam dan Islam-Melayunya. Umno membiakkan unsur radikalisma agama melalui mainan RUU 355 dan projek pembencian DAP dan golongan ‘liberal agama’ melalui retorik anti-Melayu/Islam.

Segala fabrik yang membina dalam pembentukan negara bangsa Malaysia selama ini hancur berkecai kerana rasisma Umno.

PAU 2016 dan ucapan-ucapan ‘kosong’ pemimpinnya membuktikan benarnya sikap pesimistik saya terhadap pimpinan Najib. Pesimistik adalah kecurigaan saya kepada janji Najib ketika Najib muncul sebagai Presiden Umno, kini ia bukan pesimistik lagi, apa yang saya ragui menjadi realiti.

Umno dilanda penyakit 3R, iaitu RASUAH, RASIS dan RADIKAL. Umno sudah tidak ada kekuatan moral lagi untuk memimpin negara dan Najib sudah bankrup ide dan moral untuk memimpin rakyat Malaysia.

Selamat tinggal Umno

YB Dato Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH

3 Disember 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *