Satu percaturan minda: Undi Umno atau DAP? Kleptokrasi atau kebenaran?

Laungan Undi UMNO atau DAP, ini kedengaran melalui ucapan YAB Dato Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia dalam Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, hari ini. Saya tidak terkejut mahupun terkilan dengan ucapan sebegini kerana perhimpunan tersebut adalah perhimpunan persendirian yang membawa sentimen politik masing – masing.

Namun begitu, dalam kancah politik masa kini, tidak dapat dinafikan bahawa kuasa mutlak adalah kuasa RAKYAT. Rakyat mengetahui segala – segalanya dan setiap percubaan untuk memperkecilkan minda dan kepintaran mereka, adalah satu percubaan ketinggalan zaman, seumpama peribahasa Melayu, Zaman Puntung Berasap atau Zaman Tuk Nadur Berkajang Kain.

Maka, undi UMNO atau DAP? Atau Undi BN atau Pakatan – TIDAK memaparkan impak rakyat sebenar.

Izinkan saya memetik, teks ucapan rasmi Perdana Menteri iaitu “Sekiranya rakyat dapat menjadi hakim dan memilih, DAP atau UMNO? DAP atau UMNO?”

Sekiranya RAKYAT menjadi hakim – keputusan RAKYAT perlu ditentukan melalui prinsip – prinsip kebenaran, keadilan dan kebajikan. Keputusan wajar diambil berdasarkan kesengsaraan dan penderitaan yang dilalui oleh RAKYAT melalui cukai GST, kos sara hidup yang meningkat, kos barang yang meningkat dan kualiti kehidupan yang saban hari saban merudum. Isu – isu seperti IMDB, 2.6 billion, DOJ, Tabung Haji, Felda, mata wang Malaysia, warga asing yang membanjiri Malaysia, kadar pengangguran, mutu pendidikan dan kesihatan yang semakin merosot dan banyak lagi wajar diperjelaskan dan diterangkan secara holistik dan terbuka. Isu rasuah, penyelewengan dan keborosan yang semakin hari semakin mencabuli integriti dan keyakinan rakyat terhadap pimpinan dan badan – badan berkuasa wajar dijawab dengan penuh komitmen.

Percaturan RAKYAT untuk menentukan kepimpinan dalam PRU 14, demi negara, demi bangsa (bangsa Malaysia), dan demi generasi akan datang, adalah melalui ukuran – ukuran diatas. Hanya sekadar UMNO dan DAP atau Barisan dan Pakatan, tiada sebarang makna dan hanya akan membawa malapetaka kepada negara.

Tibanya masa, RAKYAT bangkit untuk menunjukkan kematangan politik dalam menuntut kebenaran, keadilan dan kebajikan yang sempurna. Jangan benarkan kita dipisahkan dengan serpihan – serpihan perkauman hanya untuk merasmikan segelintir bermaharajalela dan terus bertakhta.

Persoalan sepatutnya ialah, bukan UMNO atau DAP TETAPI – Kleptokrasi atau Kebenaran, Rasuah atau KeADILan, GST atau Kebajikan. Politik satu mainan percaturan minda!

#LawanTetapLawan

YB Manivanan Gowin
Ahli Parlimen Kapar

1 Disember 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *