Rohingya: Tiba-tiba di luar mereka nak jadi juara, dalam parlimen diam

Keputusan Kerajaan Malaysia dan pimpinan Barisan Nasional bersama PAS untuk mengadakan himpunan besar-besaran pada 4 Disember 2016 tentang isu pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya, walaupun pada prinsipnya baik, tetapi membingungkan.

“Adakah UMNO sebagai parti pemerintah hanya mampu sekadar berdemonstrasi? Adakah mereka lupa mereka kerajaan dan sebagai kerajaan mereka wajib melakukan lebih dari berdemonstrasi!” Soal Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah.

Mereka di dalam parlimen diam membisu, tetapi di luar parlimen mahu jadi juara Rohingya.
Mereka di dalam parlimen diam membisu, tetapi di luar parlimen mahu jadi juara Rohingya.

Menurut beliau, isu pembunuhan kejam rakyat Islam Rohingya sudah lama berlaku dan Kerajaan Malaysia lesu dalam isu ini di atas berbagai alasan tidak munasabah. Kenapa dan bagaimana mereka sekarang membuat keputusan untuk mengadakan himpunan ini agak menghairankan dan tidak konsisten dengan kenyataan dan juga pendirian kerajaan di Parlimen baru-baru ini.

Pada 24hb November 2016, Raja Bahrin sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah membawa usul di bawah 19 (a) untuk membahaskan isu pembunuhan orang Islam Rohingya di Myanmar.

Bagaimanapun, Speaker Dewan telah menolak usul tersebut atas alasan ia akan “mencampuri hal negara lain”. Beliau dan beberapa lagi ahli parlimen pembangkang telah menggesa ia dibenarkan kerana pentingnya dan seriusnya isu pembunuhan beramai-ramai Islam Rohingya yang melibatkan tentera Myanmar.

Dewan Mulia Parlimen adalah forum terbaik untuk membahas dengan teratur demi mendengar pendirian dan tindakan yang ingin dicadangkan untuk diambil kerajaan dari ahli-ahli Parlimen Malaysia baik dari Kerajaan atau pembangkang.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, tidak sampai seminggu setelah usul yang di bawa di Parlimen ditolak, kerajaan dan Perdana Menteri sendiri pula mencadangkan himpunan besar-besaran untuk membantah apa yang berlaku di Myanmar.

“Adakah mereka ikhlas dalam bantahan mereka ini? Sedangkan membahas usul mengutuk kezaliman ini di parlimen adalah jauh lebih bermakna dan peluang ini telah pun dinafikan apabila usul ditolak di Parlimen pada 24 November.

“Adakah hanya setelah melihat kemarahan rakyat pada demonstrasi selepas solat Jumaat pada 25 November, kerajaan baru membuat keputusan untuk melakukan sesuatu dan itu pun sekadar mengadakan himpunan pada 4 Disember?” Soal AJK Amanah Nasional itu lagi.

Sedangkan ujar beliau, sebelum pada itu cadangan untuk menarik diri dari perlawanan bolasepak di antara Malaysia dan Myanmar pun ditolak oleh Kabinet Malaysia.

Orang-orang kampung daripada etnik Rohinya dibakar hidup-hidup oleh Junta Tentera Myanmar.
Orang-orang kampung daripada etnik Rohinya dibakar hidup-hidup oleh Junta Tentera Myanmar.

Ini katanya, amat menyedihkan dan memalukan kerana sementara seperti disahkan pegawai Bangsa-bangsa Bersatu di Myanmar, umat Islam di Myanmar dibunuh secara berterusan oleh tentera Myanmar, tetapi Malaysia sanggup terus bersukan di padang bola.

Negara pernah tarik diri dari Sukan Olimpik di Moscow kerana serangan Russia ke atas Afghanistan pada tahun 1980’an, tambah beliau lagi.

“Kenapa kita tidak melakukan tindakan sama dalam kes Rohingya ini? Adakah demonstrasi ini sekadar bertujuan menunjuk kebersamaan dengan rakyat demi menutup hakikat bahawa kerajaan tidak bertindak?”

Raja Bahrin yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Nasional turut mempersoalkan, bagaimana pula dengan pendirian Malaysia kononnya yang menerajui ‘Global Movements of Moderates”, kumpulan sederhana, kalau kita tidak membuat pendirian dengan kerajaan yang menunjukkan sikap extremis keagamaan dan perkauman dengan pembunuhan “genocide” beramai-ramai orang Islam melalui program pembersihan ethnik? Tidakkah peranan kerajaan semestinya demi mengerakkan semua yang bersama GMM ini supaya bertindak ke atas kerajaan Myanmar?

Beliau berkata, apabila usul Rohingya ditolak di Parlimen pada pagi 24 November 2016 oleh Speaker Parlimen, YB Dr. Siti Mariah dan Raja Bahrin dari Amanah, YB Tian Chua dari PKR dan YB Kula Segaran, YB Charles Santiago dan YB Chin Tong dari DAP berucap membantah penolakan usul ini.

Kekejaman dahsyat di Myanmar memerlukan cakna negara-negara umat Islam.
Kekejaman dahsyat di Myanmar memerlukan cakna negara-negara umat Islam.

Tidak ada seorang pun ahli parlimen dari Barisan Nasional atau PAS berdiri untuk berucap menggesa usul ini di benarkan di dalam Dewan Parlimen yang mulia itu, ujar beliau.

Tiba-tiba di luar Parlimen mereka ingin menjuarai isu ini? Sedangkan dalam Parlimen mereka diam, tegasnya lagi.

“Kenapa menyepi di dalam Dewan tetapi akan lantang bersuara di luar dewan? Adakah kerana himpunan di luar Dewan Parlimen akan di tonton oleh lebih ramai orang maka ia lebih penting dari perbahasan dalam Dewan parlimen? Sedangkan dalam Parlimen tindakan sebagai kerajaan boleh ditetapkan. Dan ini jauh lebih bermakna. Rakyat Malaysia ingin penjelasan.”

Raja Bahrin menuntut satu sessi Dewan Parlimen khas dengan segera untuk membahas isu pembunuhan Islam Rohingya. Kerajaan Malaysia perlu membuat pendirian yang tegas dan rasmi di Parlimen dan bukan di padang terbuka.

Kalau permintaan ini tidak dihiraukan tegas beliau, maka rakyat akan membuat kesimpulan bahawa demonstrasi ini sebenarnya bukan bertujuan membantu Rohingya tetapi sekadar membantu UMNO dan PAS mengaut sokongan politik masyarakat Melayu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *