PM puji Pas dalam PAU sebagai sahabat matang politik kerana ‘bersama’ Umno

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan kehadirannya dalam himpunan solidariti kepada penganut Islam Rohingya yang dijadualkan berlangsung Ahad ini sebagai tanda bantahan ke atas kekejaman tentera Myanmar.

Najib mengesahkan sendiri semasa ucapan dasarnya pada Selasa untuk turun bersama-sama Hadi bagi menyatakan bantahan dan menunjukkan perpaduan ummah dikalangan umat Islam menentang penindasan dan kekejaman yang berlaku di Myanmar itu.

“Mutakhir, UMNO melahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya segala kezaliman, kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas saudara-saudara seIslam kita, orang Rohingya di Myanmar.

“Berkait ini, Kerajaan pimpinan UMNO akan membantu sedaya mungkin agar pihak-pihak yang terlibat menghentikan penganiayaan kemanusiaan ini. Malah, Ahad nanti, saya akan hadir mewakili UMNO dalam himpunan besar-besaran bersama Presiden PAS dan NGO Islam bagi menyatakan bantahan,” kata Najib semasa menyampaikan Ucapan Dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC, Khamis lalu.

Najib memuji Pas sebagai sahabat yang bersikap politik matang.
Najib memuji Pas sebagai sahabat yang bersikap politik matang.

Himpunan Ahad ini bertemakan, “Perhimpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya” akan diadakan di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Najib mengingatkan rakyat dan umat Islam supaya bermusuhan satu sama lain kerana kelak ia akan merosakkan masa depan negara sendiri.

“Cukup-cukuplah sejarah mengajar kita bahawa, umat Melayu Islam dan ummah telah berkali-kali lumpuh dan runtuh hanya kerana permusuhan dan pembelotan. Hatta, janganlah kita diperkudakan oleh pihak tertentu, kelak menang sorak kampung tergadai.

“Dari itu, sudah-sudahlah. Saya menyeru, marilah kita bersatu. Atas nama perpaduan umat Melayu dan ummah, lupakan sengketa dan perbezaan antara kita. Bersamalah kita kembali ke pangkal jalan.

“Sesungguhnya, perpaduan ummah itu amat dekat di hati saya. Kalau kita boleh bersatu dalam pengertian sebenar perpaduan ummah, untuk kepentingan sejagat, mengapa tidak kita mulakannya sekarang di negara kita sendiri,” katanya.

Terdahulu, Najib juga menggesa masyarakat bukan Islam supaya tidak bimbang dengan pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) dan menggesa supaya semua pihak berhenti mempolitikkan isu tersebut.

“Sesungguhnya lagi, Kerajaan indukan UMNO telah membuat satu ketetapan bersejarah, apabila pada 24 November 2016 yang lalu, setelah dirunding bersama rakan-rakan dari parti PAS, maka pindaan Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 telah dibacakan.

“Saya pinta, janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana, ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kepada yang bukan beragama Islam, usahlah bimbang, kerana tidak akan tertakluk di bawahnya dan Kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlakunya unsur penghukuman dualisme,” katanya.

Najib dalam ucapannya juga berterima kasih kepada PAS kerana politik matang yang mereka amalkan dan tidak menyertai demonstrasi jalanan Bersih 5 baru-baru ini.

“Sehubungan dengan inilah, atas nama perpaduan ummah, kita mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari parti PAS, kerana matang dalam berpolitik dan kekal berada dalam Dewan Parlimen, mendengar pembentangan Bajet 2017 sehingga penghujungnya, dan juga tidak menyertai demonstrasi jalanan anjuran Bersih,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *