Angkara ‘dedak’, cybertroopers Umno akan jadi punca BN kalah PRU14

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Jamzuri Ardani mendakwa, pihak yang berjuang kerana upah atau ‘dedak’ akan terdedah dengan pelbagai kesilapan dan kebergantungan Pemangku Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hamidi dan partinya ke atas cybertroopers upahan mereka, insyaAllah akan menjadi punca kekalahan Umno dan BN dalam PRU14 nanti.

Katanya, Zahid mengakui Umno banyak bergantung dengan kumpulan ‘cybertroopers’ parti itu sebagai saluran komunikasi yang mensasarkan golongan muda Gen-Y dan Gen-Z.

Jamzuri Ardani, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor
Jamzuri Ardani, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor

Bukan sahaja beliau mengakui kewujudan dan kebergantungan Umno kepada ‘cybertroopers’, malah ujar beliau, Zahid juga mengakui terdapat perbalahan di kalangan kelompok-kelompok ‘cybertroopers’ ini dalam mempromosi jenama tokoh politik tertentu.

Menurut beliau, media sosial yang menjadi medan rakyat bertukar-tukar fikiran telah juga menjadi medan para pemakan dedak untuk menyebarkan racun propaganda politik Umno bagi menghalalkan jenayah politik pemimpin negara.

Zahid sewaktu merasmikan Persidangan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di PWTC Rabu lalu mengingatkan kumpulan cybertroopers Umno agar bersatu menyusun strategi menentang musuh dan bukannya berbalah sesama sendiri.

Katanya lagi, sesetengah anggota cybertroopers Umno hari ini terjebak dengan agenda mempromosi saudagar-saudagar politik yang menjenamakan tokoh-tokoh tertentu.

Mengulas lanjut, Jamzuri berkata, cybertroopers politik Umno ini bukanlah golongan yang berupaya menyatakan pandangan politik secara bebas dan berwibawa, sebagaimana layaknya seorang rakyat yang bertanggungjawab dan prihatin terhadapan masa depan negara, tetapi mereka hanya menyebarkan dakyah seperti yang disuruh oleh ‘paymaster’ mereka.

“Sedarlah wahai rakyat, ‘paymaster’ ini adalah aktor-aktor politik yang ada kepentingan diri dan mereka melabur dalam sektor politik untuk mendapat laba yang lebih besar dikemudian hari hasil dari usaha para cybertroopers Umno ini.

“Mereka adalah kaum pemodal. Mereka tidak ada sedikitpun untuk menjerut leher rakyat demi kepentingan politik mereka. Dalam bahasa Zahid sendiri, mereka adalah ‘saudagar-saudagar politik’,” tegas beliau kepada Amanahdaily.

Amanah tegas Jamzuri, tidak ada saudagar politik, tidak ada ‘paymaster’ tetapi aktivis-aktivis Amanah terlibat mempromosikan perjuangan parti di dalam dunia siber atas inisiatif sendiri sebagai seorang rakyat yang peka dengan perkembangan politik negara.

fb_img_1480646981182

Mereka mempunyai semangat dan idealisma yang lahir dari sanubari mereka sendiri dan apa yang mereka sampaikan adalah di atas kesedaran dan tanggungjawab sebagai warga negara, bukan atas desakan dan asakan dana kaum pemodal politik di belakang mereka sepertimana para cybertroopers Umno, ujar beliau lagi.

Beliau berkata, para aktivis Pakatan Harapan bersedia untuk menghadapi cypertroopers upahan ini menjelang PRU14 nanti.

Seperti kata Sun Tzu, “bukan pihak yang kuat yang pasti akan menang, tetapi pihak yang banyak buat silap yang pasti akan kalah”.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *