Satira: Perihal Lebai Pondok Bersila penjual madu

Lebai Pondok Bersila ialah seorang yang sudah lama berniaga menjual ubat di negeri Darul Suap-Sapu. Namun, perniagaannya tidak maju. Sebaliknya, dia melihat kawan karibnya Imam Cahaya sangat berjaya dalam perniagaanya. Malah, produk Imam Cahaya diterima baik pasaran dan dia diberi berbagai anugerah. Ini menyebabkan Lebai Pondok Bersila mula merasa iri hati.

Pada satu hari, Lebai Pondok Bersila mengambil keputusan untuk menjual madu. Namun, dia tidak mempunyai bekalan madu. Lalu dia pun bertemu Permaisuri Limah, pemerintah Darul Suap-Sapu, untuk mendapatkan nasihat. Permaisuri Limah memang tidak suka pada Imam Cahaya. Dia melihat inilah peluang untuk memusnahkan kedudukan Imam Cahaya dan merenggangkan hubungan di antara Lebai Pondok Bersila dan Imam Cahaya. Sebenarnya dia tidak menyukai kedua-dua Lebai Pondok Bersila dan Imam Cahaya. Dia melihat inilah peluang untuk melaga-lagakan kedua-dua mereka.

fb_img_1480574325110

Permaisuri Limah pun menasihati Lebai Pondok Bersila supaya menggunakan ramuan khas untuk membuat ‘madu’ ini. Orang awam tidak akan tahu. Asalkan manis dan pekat orang akan percaya ramuan ini ialah ‘madu’. Untuk memastikan jualannya laris, Permaisuri Limah menyuruh Lebai Pondok Bersila mengatakan ‘madu’ yang dijualnya ialah madu Nabi dan dapat menyembuhkan seribu satu jenis penyakit dan boleh membersihkan seseorang dari segala dosa. Permaisuri Limah turut memberi Lebai Pondok Bersila sebuah ladang mangga berharga 90 juta Dinar. Mangga dari ladang ini boleh digunakan sebagai bahan untuk ramuan ‘madu’ ini. ‘Madu’ ini diberikan jenama Madu LPB supaya berbunyi lebih anggun. Kempen iklan Madu LPB mengguna ungkapan ‘Ikut Sunnah Nabi, guna Madu LPB’. Madu LPB mendapat sambutan baik di pasaran. Ada pembeli yang menyatakan mereka merasa lebih insaf dan kuat iman mereka selepas menggunakan Madu LPB. Mereka tidak lagi suka mencaci-cerca dan memaki hamun orang-orang lain. Ada juga yang mengatakan ia telah menyembuhkan penyakit anggau, biul dan bisul yang mereka hidapi.

Semakin ramai orang menyertai program jualan Madu LPB. Para jurujual ini memperolehi pendapatan yang lumayan dari jualan madu ini.  Namun, setelah setahun Madu LPB masuk ke pasaran, para doktor perubatan mula menyatakan kebimbangan mereka terhadap kesan Madu LPB. Mereka menemui semakin ramai pesakit  diabetis yang merupakan pengguna Madu LPB.  Mereka mempersoalkan nilai kesihatan Madu LPB. Sebaliknya, ubat yang dijual Imam Cahaya didapati berkesan mengatasi kesan negatif dari Madu LPB. Ini menyebabkan Lebai Pondok Bersila dan para jurujualnya marah. Mereka mula mengecam para doktor yang menyatakan kebimbangan terhadap Madu LPB. Mereka menuduh doktor-doktor ini sebagai menentang sunnah nabi, mendokong perubatan sekular dan liberal. Apatah lagi, kebetulan menteri kesihatan Darul Suap-Sapu ialah seorang bukan Islam.  Lebai Pondok Bersila dan para jurujualnya menuduh doktor-doktor ini sebagai boneka menteri kesihatan kafir harbi. Mereka turut menuduh Imam Cahaya sengaja mengambil kesempatan untuk melariskan ubatnya. Mereka juga menggesa pelanggan-pelanggan mereka memboikot doktor-doktor yang mengatakan Madu LPB memberi kesan negatif. Permaisuri Limah tersenyum melihat keadaan ini. Nyata sekali, muslihatnya untuk memusnahkan Lebai Pondok Bersila dan Imam Cahaya sudah menunjukkan hasil.

Lebai Pondok Bersila mendakwa keistimewaan Madu LPB tidak boleh dipertikai dan memohon Majlis Pembesar Darul Suap-Sapu untuk menggubal undang-undang mewajibkan semua rakyat mengguna Madu LPB dan mengistihar sesiapa yang mempertikaikan khasiat Madu LPB sebagai murtad. Majlis Pembesar pun menetapkan satu tarikh untuk Lebai Pondok Bersila membentangkan usulnya kepada mereka.

fb_img_1480574173174Keadaan menjadi gawat apabila tersebar berita bahawa Pusat Kajian Perubatan Darul Suap-Sapu telah mengkaji Madu LPB dan menemui hasil yang memeranjatkan. Namun, Bendahara  Labu, pegawai tertinggi kerajaan Permaisuri Limah, telah menitahkan supaya laporan kajian itu tidak didedahkan pada orang ramai. Demikian juga, ada beberapa orang guru agama mempersoalkan sama ada penggunaan Madu LPB wajar dikatakan sunnah nabi. Pengguna-pengguna Madu LPB terkejut dengan pendedahan- pendedahan ini. Tetapi terdapat segolongan pengguna setia Madu LPB dan para jurujualnya yang terus taksub dengan Lebai Pondok Bersila dan Madu LPB. Mereka menyatakan pendedahan ini adalah satu konspirasi kafir harbi untuk memusnahkan sunnah nabi. Namun, Lebai Pondok Bersila sendiri hanya membisu bila berdepan dengan pendedahan ini. Dia cuba menghubungi Permaisuri Limah tetapi panggilannya telefonnya tidak dijawab.

Keadaan menjadi lebih parah apabila sekumpulan penyelidik di sebuah universiti mendapati Madu LPB tidak pun mengandungi madu. Namun, Bendahara Labu turut mengarahkan hasil kajian ini dirahsiakan.  Akan tetapi ini tidak menghalang berita mengenai kedua-dua kajian ini terbocor kepada masyarakat.

Lebai Pondok Bersila semakin berasa gusar. Dia telah diminta membentangkan usulnya kepada Majlis Pembesar keesokan harinya. Walau pun sebahagian besar jurujual Madu LPB masih setia kepadanya, Lebai Pondok Bersila sedar kedudukannya sudah tergugat.

Ada di kalangan ahli Majlis Pembesar yang turut menyatakan kesangsian mereka terhadap Madu LPB. Namun, ada juga ahli Majlis Pembesar yang menyokong usul yang dicadangkan Lebai Pondok Bersila. Mereka ini umumnya mempunyai saudara-mara yang turut terbabit dalam jualan Madu LPB.

Keesokan harinya Lebai Pondok Bersila diminta membentang  usulnya pada mesyuarat Majlis Pembesar. Suasana menjadi panas dan sekumpulan jurujual Madu LPB mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan Balai Pembesar. Mereka mengecam golongan yang mengkritik Madu LPB sebagai penentang sunnah nabi.

Mereka juga mengugut akan mengistihar jihad ke atas doktor-doktor yang mempersoalkan Madu LPB. Berbagai perkataan kesat digunakan untuk mengecam golongan guru agama yang tidak setuju dengan dakwaan penggunaan Madu LPB itu sunnah nabi.

fb_img_1480574410406

Suasana di Balai Pembesar menjadi tegang apabila Lebai Pondok Bersila dijemput untuk membentangkan usulnya. Para pemberita menjangkakan perbahasan yang sengit mengenai Madu LPB. Apabila Lebai Pondok Bersila memulakan ucapannya, Balai Pembesar menjadi sepi. Beliau memulakan ucapannya dengan memberi amaran kepada semua pengkritiknya bahawa mereka akan masuk neraka. Dia memberi amaran kepada pembesar-pembesar bukan Islam supaya jangan campur tangan dalam isu amalan sunnah nabi. Kemudian, seluruh Balai terkejut apabila Lebai Pondok Bersila mengumumkan bahawa dia ingin menangguhkan pembentangan usulnya.

Di luar Balai, pengurus pemasaran Madu LPB, Pengiran Labi-uddin,  cuba melakukan “damage control” dengan memberitahu pemberita bahawa Madu LPB sebenarnya bukanlah penawar penyakit. Ia hanya sesuai digunakan sebagai pemanis makanan. Sebaik sahaja Lebai Pondok Bersila keluar dari balai para pemberita menyerbunya.

Seorang pemberita bernama Awang Nadim menunjukkan laporan Pusat Penyelidikan Perubatan dan dari pengkaji di universiti yang menunjukkan Madu LPB hanyalah campuran air gula dan jus buah. Lebai Pondok Bersila tergamam dan terus bergegas dari situ. Pemberita-pemberita yang cuba menghubunginya selepas itu dimaklumkan bahawa Lebai Pondok Bersila tidak sihat dan kini berehat di hospital. Beberapa hari kemudian, Awang Nadim ditahan hulu-balang istana kerana membocorkan rahsia dan dikenakan hukuman penjara 18 bulan. Permaisuri Limah membuat kenyataan bahawa Madu LPB memang bukan madu pun.  Ia hanya air gula dan jus buahan.  Salah faham mengenai Madu LPB timbul kerana kesilapan cetakan pada tanda namanya. Ia sepatutnya dilabel “Mau LPB”.

Akhirnya, rakyat di Darul Suap-Sapu menyedari segala pertelingkahan yang mereka lalui selama ini bukanlah kerana madu tetapi kerana campuran gula dan jus buah yang dijual sebagai madu. Mereka telah ditipu. Namun, sebahagian jurujual Madu LPB masih bertegas ia adalah madu yang berdasarkan amalan nabi. Ada penganalisis yang memberi komen sinis bahawa mungkin mereka ini menganggap Lebai Pondok Bersila sebagai nabi.  Itulah sebabnya mereka menganggap Madu LPB amalan nabi.

Dua minggu selepas itu, Lebai Pondok Bersila dan Imam Cahaya ditahan hulu-balang istana dan dipenjarakan di atas tuduhan menganggu ketenteraman awam.

■ Satira ini kiriman oleh Madah Pujangga khas untuk Amanahdaily.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *