Khairuddin desak KPN respon segera laporan polis terhadap Speaker Parlimen

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa memberikan penjelasan berkenaan status laporan polis Dato’ Khairuddin Abu Hassan bertarikh 14 Nov lalu, terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam satu kenyataannya, Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan meminta agar semua tidak memandang remeh dengan tindakan Speaker yang wewenang ‘menuduh’ tiga ahli parlimen iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin (Pagoh), Dato’ Seri Shafie Apdal (Semporna) dan Dato’ Seri Husni Hanadzlah (Tambun) telah membocorkan maklumat sulit mengenai skandal 1MDB di dalam sidang Dewan.

Tegasnya, Speaker yang sepatutnya dihadap dan didakwa dibawah Akta 124 C bukannya ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan sehingga mereka disoalsiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau berkata, tindakan Pandikar Amin itu telah mengaitkan isu keselamatan negara berhubung penggugatan terhadap sistem demokrasi berparlimen.

“Satu siasatan yang komprehensif, telus, adil serta saksama mestilah dijalankan keatas speaker parlimen tersebut,” ujar beliau.

Khairuddin mahu polis bersikap professional dan tidak berat sebelah dan mestilah membuktikan kepada rakyat bahawa jabatan kepolisian di negara ini sangat adil dalam melindungi kepentingan keseluruhan masyarakat dalam negara ini.

Katanya, sekiranya polis dapat bertindak pantas dan tegas terhadap Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang ditahan di bawah akta 124 C Kanun Keseksaan selama lebih kurang 10 hari, kenapa laporan polis beliau terhadap speaker parlimen tiada sebarang reaksi daripada KPN?

“Peguam saya pun sudah diarahkan untuk keluarkan surat rasmi secara bertulis kepada Ketua Polis Cawangan Sentul serta KPN. Amatlah diharapkan kedua-dua mereka dapat memberi maklum balas secara bertulis tidak lewat dari 2 minggu dari sekarang (30 Nov 2016),” tegas Khairuddin.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *