Khairi Jamaluddin belasah Tun Mahathir ‘Melayu mudah lupa’

Berbekalkan sajak Tun Mahathir Mohamad bertajuk “Melayu Mudah Lupa”, tetapi telah diubahsuai, Khairy Jamaluddin menggunakan pentas Perhimpunan Agung Pemuda UMNO untuk menyerang bekas Perdana Menteri itu yang disifatkannya berbeza 180 darjah berbanding dahulu.

Antara ungkapan sajak yang diubahsuai oleh Ketua Pemuda UMNO dalam sajaknya  ialah:

“Beliau pun sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, BERSIH dipertikai. Sekarang, merayu rakyat sertai BERSIH. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Soros dikritik, sekarang, sertai demo yang dibiayai Soros.

“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa.

“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Mat Sabu dicaci dihina. Sekarang teman bergelak ketawa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu konon pejuang bangsa. Sekarang seganding musuh bangsa.

“Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu pertikai kewujudan Keadilan. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, musuh dipersoal. Kini semeja, mengejar kuasa,” katanya.

Seterusnya Menteri Belia dan Sukan itu mengingatkan, “Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun. Juga ingat solidariti parti mempertahankan Tun. Tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun.

“Juga ingat diktatorship Tun. Juga ingat kepincangan Tun. Juga ingat penyelewengan di zaman Tun. Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.

“Dan yang akan kami paling ingat, Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat, adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini.”

Sudah tentu ia merupakan sajak yang paling menggembirakan buat Najib Razak. Ketika bapa mertuanya, Pak Lah berkuasa pun, KJ tidak pernah mencipta sajak seperti ini.

Tetapi, sebelum KJ menjadi Melayu yang terus lupa, beliau juga harus ingat bagaimana di Dewan Merdeka jugalah bergemanya teriakan “rasuah, rasuah, rasuah” selepas kemenangannya sebagai Ketua Pemuda UMNO diumumkan pada 2009 dahulu.

Tidakkah KJ lupa bahawa teriakan seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang sejarah kewujudan UMNO sebelum ini?

Orang Melayu dan sebahagian ahli UMNO juga belum lupa bagaimana peranan budak-budak Tingkat 4 menguasai pentadbiran Pak Lah dahulu sehingga timbulnya pelbagai masalah dan kecelaruan dalam negara yang akhirnya membuatkan BN buat pertama kali dalam sejarah  telah hilang kuasa majoriti dua pertiga.

Berbanding Tun Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun dan menghadapi pelbagai gelora politik, namun genggaman kuasa dua pertiga sentiasa dalam dakapan, tetapi semua itu hilang sebaik saja kelibat KJ dalam pentadbiran kerajaan jadi perbualan.

Apakah dalam hal ini KJ mahu melupakan hakikat bahawa kewujudan peranan dan campurtangannyalah yang menyebabkan bermulanya awam mendung menyelubungi langit UMNO dan BN sehingga kalutnya berlarutan sampai sekarang?

Tun Mahathir beralih arah 180 darjah sekarang ini berbanding dahulu bukanlah disebabkan bekas Perdana Menteri itu boleh dianggap sebagai lambang Melayu mudah lupa, tetapi lebih kerana negara kita sudah bertukar daripada demokrasi kepada kleptokrasi.

Sudah tentu Tun Mahathir yang membina negara ini dengan pelbagai kecemerlangan akan lebih dihina jika beliau terus bersikap mempertahankan Najib dan seolah-olah tidak lagi dapat membezakan antara hitam dengan putih.

Dan sebenarnya, mereka yang mempertahankan Najib sekaranglah yang sudah lupa kepada hakikat kebenaran.

Maka itu, sebelum KJ mahu menempelak Tun Mahathir, beliau bukan saja harus melihat semula neraca pertimbangannya mengenai makna sebenar kebenaran, malah wajib juga mencermin dirinya sendiri terlebih dahulu.

■ Artikel ini ditulis oleh Shahbudin Husin pada blognya l 30 Dec 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *