PSM Kelantan kecam penangkapan 32 aktivis Orang Asal di Gua Musang

Parti Sosialis Malaysia (PSM Kelantan) memandang serius tindakan pihak berkuasa menangkap seramai 32 orang aktivis orang asli di Gua Musang atas tuduhan “melakukan aktiviti di atas tanah kerajaan”.

Jika diimbas kembali dari awal kronologi isu ini, sebenarnya orang asli hanya mahukan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Menteri Besar ataupun Timbalan Menteri Besar untuk turun padang berjumpa dan berunding dengan mereka berhubung isu pembalakan yang dikatakan semakin serius.

Kami sendiri telah turun padang bersama aktivis dari pelbagai badan NGO pada pertengahan Oktober lepas untuk melihat sendiri kebenaran dakwaan orang asli tersebut. Dan ternyata ianya benar apabila banyak kawasan termasuk kawasan kubur mereka sudah rosak teruk akibat aktiviti pembalakan.

Terlalu banyak memorandum telah dihantar kepada pihak Kerajaan Negeri untuk sama-sama menyelesaikan masalah orang asli. Tetapi tiada satu pun tindakan positif yang diambil. Ini menyebabkan mereka mengambil langkah yang lebih berani iaitu mengadakan “blockade” di laluan keluar masuk lori balak dan menyebabkan banyak kayu balak terdampar di sekitar hutan simpan Kuala Balah.

Oleh itu, pihak kami beranggapan bahawa tindakan Kerajaan Negeri ini tidak ubah seperti “seorang ayah yang zalim”. Jika di Palestin, kita lihat tentera yahudi bertindak zalim merampas dan membunuh orang islam Palestin atas sebab membina sebuah negara bernama ISRAEL. Di Myanmar pula, tentera kerajaan tanpa prikemanusiaan membunuh serta membakar orang awam berketurunan Rohingya di wilayah Rakhine. Manakala di Kelantan, sebuah wilayah dalam Malaysia, Kerajaan islam PAS menganiaya dan merampas tanah orang asli akibat mahu mendapatkan “Balak”.

Sehubungan dengan itu, kami mendesak supaya pihak berkuasa membebaskan 32 orang aktivis orang asli. Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar juga wajib turun padang mengadakan rundingan secara “face to face” dengan orang asli segera demi menyelesaikan kemelut yang melanda ini.

Wan Muhiddin Asyrafi
Timbalan Pengerusi Kelantan
Parti Sosialis Malaysia

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *