Solidariti orang Sabah buat Rohingya cetus kesedaran, kutip RM2,372

Parti Amanah Negara (Amanah) di seluruh negara mengecam serta membantah penyeksaan dan pembunuhan kejam yang berlaku di Arakan, Myanmar. Pelbagai kenyataan dan himpunan untuk tujuan tersebut sedang giat dijalankan.

img-20161129-wa0006

Tidak ketinggalan, sayap Pemuda Amanah dan Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Sabah pagi kelmarin telah mengadakan aktiviti Solidariti Bantahan Penindasan Bangsa Rohingya.

Dengan menghamparkan kain rentang bertulis ‘Solidariti Bantah Penindasan Bangsa Rohingya di Myanmar’, solidariti tersebut mendapat perhatian serta sambutan baik oleh warga Tamu Gaya Street, Kota Kinabalu.

Menurut Ketua Pemuda Amanah Sabah, Khairuddin Daud yang mengetuai solidariti ini melahirkan rasa gembira di atas sambutan tersebut.

“Alhamdulillah, kita berasa terharu dan bersyukur atas sambutan baik daripada masyarakat setempat. Ini menunjukkan bahawa masih wujud insan-insan yang peduli dan berkeinginan untuk menghulurkan bantuan kepada insan-insan lain yang tertindas di luar sana.

“Kita harus melihat isu ini dari kaca mata kemanusiaan dan hak asasi yang merentasi sempadan politik, agama, bangsa dan negara,” katanya.

“Sebanyak 500 lebih tandatangan orang ramai berjaya dikumpulkan sepanjang aktiviti ini dijalankan sekaligus menunjukkan rasa kesungguhan mereka menegakkan dasar kemanusiaan dan membantah tindakan kerajaan Myanmar yang membiarkan kezaliman ke atas bangsa Rohingya,” tambah beliau lagi.

img-20161129-wa0008

Ternyata, tegasnya, rakyat Malaysia di seluruh negara sudah mengetahui secara jelas tentang isu ini, termasuklah rakyat di peringkat akar umbi. Pemimpin-pemimpin parti politik di peringkat tertinggi pula begitu giat mengadakan bantahan kepada kerajaan Myanmar.

“Kami di peringkat pemuda dan seluruh parti Amanah menentang sekeras-kerasnya segala diskriminasi etnik dan agama walau di mana sahaja ia berlaku.

“Pemuda Amanah juga menentang semua pembunuhan kejam yang bersifat tidak berperikemanusiaan”, tegas Khairuddin.

Menyebut soal penyelesaian kepada tragedi seumpama ini, AJK Wanita Amanah Sabah, Azlin berkata, perlunya kesatuan yang kukuh daripada barisan pimpinan negara yang lain, terutamanya negara-negara serantau Asia.

Dengan adanya kesatuan suara daripada pemimpin-pemimpin negara ujar beliau, sedikit sebanyak memberi kuasa dalam menentukan nasib malang atau untung rakyat di negara-negara jiran mereka.

“Sesebuah kerajaan yang zalim perlu dihukum oleh masyarakat dan pemimpin dunia sehingga mereka akur kepada undang-undang antarabangsa dan berhenti dari melakukan kezaliman itu.

“Kita perlu menuntut agar warga Rohingya diberikan hak kewarganegaraan yang adil dan saksama dengan warganegara yang lainnya,” ulas beliau lebih lanjut.

img-20161129-wa0009

Mengulas lanjut, Khairuddin juga menjelaskan, Amanah telah memberi beberapa peringatan dan desakan kepada pihak kerajaan berhubung isu Rohingya ini.

Amanah mendesak pihak kerajaan agar menggunakan kuasa ASEAN, melaksanakan tekanan ekonomi dan ketenteraan bagi memberi amaran yang jelas kepada kerajaan Myanmar, kata beliau.

Amanah juga tegasnya, menuntut agar kerajaan menggunakan PBB dan OIC untuk memudahkan mangsa-mangsa mendapatkan bantuan asasi yang diperlukan.

“Amanah tidak sekadar bekerjasama dengan parti-parti politik, tetapi juga dengan NGO dan NGI tempatan serta masyarakat seluruhnya. Kita berharap semua pihak dapat bersatu dalam usaha menyelamatkan saudara kita di Rohingya.

“Teruskan berusaha dengan apa sahaja cara yang mampu kita lakukan. Berterusanlah menyebarkan berita tragedi ini di media sosial dan medan lapangan.

img-20161129-wa0007

“Kutiplah derma atau sumbangan barang asasi melalui agensi yang berautoriti dan amanah dalam menyampaikan. Akhir sekali, jangan putuskan doa kita kepada mereka. Semoga tuhan membela nasib mereka secepat yang mungkin, insyaallah amin,” terang beliau.

Sayap Pemuda dan Wanita Amanah Sabah mengucapkan terima kasih di atas solidariti dan sokongan warga Sabah kepada bangsa Rohingya.

Sebanyak RM 2,372.00 berjaya dikutip dalam solidariti tersebut dan akan disalurkan kepada NGO Amal Relief Malaysia dan Humanitarian Care Malaysia.

■ Oleh Wartawan, Anita Awang

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *