Bersatu perlu segera sertai Pakatan Harapan, jangan tangguh lagi demi rakyat

Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November lalu sepatutnya antara lain menyaksikan penyertaan PPBM ke dalam gabungan parti-parti pembangkang itu.

Tetapi, oleh kerana PPBM memerlukan lebih masa untuk berbincang lebih lanjut, maka kemasukan itu ditangguhkan dahulu meskipun Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin yang hadir berucap di konvensyen secara dasarnya bersetuju untuk menyertainya.

Sebenarnya sebab lain PPBM memerlukan lebih masa sebelum menyertai Pakatan Harapan ialah kerana parti itu mahu berunding terlebih dahulu dengan Pas mengenai persetujuan formula satu lawan satu menentang BN.

Ketika itu Pas memang menunjukkan tanda-tanda positif ke arah itu, namun perkembangan mutakhir ini, terutama setelah usul Akta 355 seolah-olah diberi lampu hijau oleh kerajaan dan kemudian Hadi Awang turut setuju sepentas dalam satu lagi opera politik berkaitan Rohingya pada 4 Disember, rundingan PPBM dengan parti Islam itu pasti lebih melalui jalan sukar lagi.

Pas, terutamanya kelompok pro Hadi Awang dan Hashim Jasin, tentu saja sedang seronok dan tidak sabar menunggu sidang Parlimen Mac tahun depan untul usul penuh Akta 355 dibentang, dibahas dan diundi.

Namun, bagaimana jika tarikh PRU 14 diadakan sebelum Mac 2017?

Bermakna, terus menunggu hasil perundingan dengan Pas sebelum PPBM memutuskan untuk menyertai Pakatan Harapan sudah menjadi tidak praktikal dan membuang masa.

Dalam hal ini, PPBM tidak harus menunggu lagi untuk berunding dengan Pas. Jalan terbaik ialah sertai Pakatan Harapan terlebih dahulu dan jadikan gabungan itu benar-benar kuat dan mantap untuk mengalahkan BN pada pilihanraya nanti.

PPBM patut lupakan Pas buat sementara waktu. Muktamadkan dahulu untuk menyertai Pakatan Harapan dan jadikan tarikh 13 Disember ini sebagai detik penting untuk membawa perubahan kepada negara ini.

Sekiranya selepas menyertai Pakatan Harapan, PPBM masih mahu mengadakan perundingan bersama Pas, ia masih boleh dilakukan dalam konteks yang berasingan.

Pas tentu saja tidak mahu berunding dengan Pakatan Harapan kerana adanya DAP dan Amanah dalam gabungan itu. Tetapi, perundingan antara PBBM dengan Pas selepas itu tidak menjadi sebarang kesalahan sekiranya parti Islam itu benar-benar ingin berlawan satu lawan satu menentang BN.

Tidak mustahil bukan saja PPBM, malah PKR juga mungkin turut sama akan mengadakan rundingan dengan maksud yang sama dengan Pas, malah di Selangor sekarang pun PKR dengan Pas sudah ada kerjasama dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, sama ada perundingan itu menghasilkan sesuatu yang positif atau sebaliknya, ia akhirnya lebih terletak kepada pendirian Pas sendiri sama ada mereka benar-benar mahu berlawan dengan BN atau ingin memberi kelebihan kepada Najib dan UMNO untuk terus berkuasa.

Jika Pas ingin sama-sama menentang BN, maka mereka haruslah lebih berlembut dan tidak membiarkan berlakunya pertandingan tiga penjuru. Sebaliknya, jika Pas enggan, Pakatan Harapan tetap wujud sebagai alternatif yang kuat dan lebih gagah untuk menandangi BN.

Kiranya Pas berdegil dan kekal dengan hasrat sendirian mereka itu, maka pengundi akan memahami niat dan keinginan sebenar parti itu serta tidak mustahil akan menghukumnya dengan lebih teruk lagi kerana rakyat secara umumnya inginkan perubahan dan sudah cukup meluat dengan BN dan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang.

Malah, tidak mustahil ramai ahli Pas sendiri enggan menyokong parti itu jika ia bertanding bersendirian dan tidak lagi bersungguh-sungguh mahu melawan UMNO dan BN yang sudah ditanam dalam keyakinan mereka sebagai musuh yang harus dikalahkan.

Yang penting, dengan penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan, gabungan itu mampu terus mantap untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Menangguhkan lagi selepas 13 Disember untuk menyertai Pakatan Harapan hanya akan menambahkan kecurigaan dan ketidakyakinan pengundi terhadap PPBM untuk sama-sama membawa perubahan.

■ Analisis penulis prolifik Shahbudin Husin dalam blognya bertarikh 27 Nov 2016.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *