Myanmar & Israel serupa tapi tak sama, kita boleh buat lebih demontrasi di kedutaannya

Walaupun bagus bagi rakyat Malaysia turun membuat demonstrasi dan berkempen di Kedutaan Myanmar, saya cadangkan kita ambil juga langkah lain yang lebih berkesan untuk memberi tekanan kepada Myanmar.

Benar, keganasan regim Myanmar ke atas Muslim Rohingya menyamai bahkan ada ketikanya lebih dahsyat daripada keganasan Israel di Palestine.

Tetapi Israel tidak seperti Myanmar.

Israel terletak nun jauh di Timur Tengah. Israel tiada gabungan diplomatik dengan Malaysia. Passport Malaysia tak boleh digunakan di Israel. Syarikat Malaysia tidak melabur di Israel. Israel mempunyai kekuatan ketenteraan terbesar di Asia Barat. Israel mempunyai ‘big brother’ yang sentiasa membelanya.

Oleh itu, untuk memberi tekanan kepada Israel ketika mereka menyerang Gaza, kita hanya mampu berdemonstrasi di depan kedutaan Amerika.

Tetapi Myanmar tidak seperti Israel. Jaraknya hanya 1700 km dari Malaysia. Ia negara yang baru muncul dari kemunduran. Ia sedang mencari kawan. Pemimpin de-factonya Aung San Suu Kyi kononnya menerima hadiah Nobel Keamanan.

Ia adalah anggota ASEAN yang dianggotai oleh negara Islam Malaysia, Indonesia dan Brunei. Ia berhajat kepada pelaburan luar. Syarikat Malaysia banyak mula melabur di sana.

Maka sepatutnya penyelesaian kepada keganasan regim Myanmar lebih mudah.

Tekanan diplomatik dan ekonomi perlu diusahakan. Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei perlu memainkan peranan aktif memberi tekanan kepada negara tersebut.

Sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB, Malaysia perlu segera mengusahakan satau resolusi mengutuk jenayah di Myanmar. Di samping itu, usaha membawa pemimpin Myanmar ke muka pengadilan ICJ kerana “crimes against humanity” perlu digerakkan.

Pelabur Malaysia perlu berfikir semula mengenai pelaburan di negara pengganas itu.

Kita rakyat Malaysia boleh berkempen agar kerajaan dan pelabur Malaysia, Indonesia dan Brunei bertindak segera. Rakyat boleh mula memberi tekanan kepada syarikat Malaysia yang melabur di sana.

Jika kita boleh mengusahakan kempen boycott, divest dan sanction (BDS) kepada Israel, kenapa tidak kepada Myanmar?

Dari Facebook
Prof Omar Yaakob
UTM

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *