Mufti Pulau Pinang desak Malaysia putus hubungan dengan Myanmar

Masyarakat Antarabangsa tidak seharusnya berdiam diri dan membiarkan sahaja Kerajaan Junta Tentera di Myanmar terus menerus melakukan tindakan pembersihan etnik terhadap komuniti Rohingya di negara itu, tegas Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr Wan Salim Mohd Noor.

Beliau menyeru negara-negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Negara Myanmar dan menghantar balik seluruh rakyatnya yang bekerja di negara-negara Islam.

Tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja perlu dikutuk, malah mesti dicegah dengan apa jua cara yang difikirkan berkesan bagi menghentikan kezaliman dan kekejaman itu termasuklah dengan menghadapkan mereka yang bertanggungjawab dengan tindakan tidak bertamadun itu ke Mahkamah Antarabangsa, tegas beliau dalam satu kenyataan kepada Amanahdaily.

ap-30-800x500_cSebagai menunjukkan semangat setiakawan antara sesama umat Islam, Wan Salim mencadangkan supaya Malaysia dan negara-negara Islam yang lain mengambil langkah segera mengeluarkan seluruh masyarakat Rohingya daripada Wilayah Arakan dan mengagihkan mereka di beberapa negara Islam yang kaya.

“Saya juga menyokong cadangan supaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menarik balik anugerah Nobel Peace Prize daripada Aung San Suu Kyi kerana beliau sudah hilang kelayakan sebagai penerima anugerah tersebut kerana tidak langsung menyumbang ke arah keamanan dengan berusaha mebantah tindakan ganas dan kejam yang dilakukan oleh pihak Junta Tentera di negaranya ke atas masyarakat Muslim Rohingya,” tegas beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan ribuan etnik Rohingya yang berada di Malaysia tengahrai tadi, Jumaat 25 Nov, mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.

Mereka berkumpul di Menara Tabung Haji sejurus selepas solat Jumaat sekitar jam 2.00 petang sebelum berarak menuju ke kedutaan Myanmar di Jalan Ampang bagi memprotes pembunuhan saudara dan rakan mereka oleh penguasa negara itu.

Peserta demonstrasi berarak kira-kira 2.6 kilometer sambil membawa sepanduk mengecam kekejaman kerajaan Myanmar, dan juga gambar-gambar mangsa yang dibunuh dengan kejam.

Ada di antara mereka yang berarak sambil berteriak-teriak menyatakan rasa kecewa dan sedih dengan nasib yang menimpa saudara-mara mereka itu.

Perhimpunan petang tadi juga disertai oleh rakyat Malaysia daripada ahli parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang kemudiannya cuba menyerahkan sebanyak lima memorandum kepada Keduataan Myanmar.

Antara memorandum itu adalah daripada Gerakan Baju Merah V2, PAS, Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) dan Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Bagaimanapun semua memorandum itu hanya dapat diserahkan kepada pengawal keselamatan di kedutaan Myanmar.

Etnik Rohingya beragama Islam dilaporkan ditindas dan dizalimi dengan kejam, mengakibatkan beribu-ribu penduduk berkenaan meninggalkan kampung halaman bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman yang didakwa melibatkan tentera negara itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *