RUU 355: Mohon buat huraian sesi akan datang, Presiden Pas minta tangguh lagi

Walaupun akar umbi Pas dilihat galak menuntut pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dilakukan segera tetapi Presidennya hari ini dilihat sekali lagi tidak menggunakan peluang yang diberi.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang memohon untuk membuat huraian Rang Undang-undang (RUU) 355 pada sesi Dewan Rakyat akan datang dengan alasan masih ada pihak tertentu yang keliru.

“Memandangkan pindaan ini memerlukan pemahaman yang jelas walaupun sudah ada secara bertulis yang sudah diedarkan kepada ahli Parlimen, namun masih ada lagi kekeliruan.

Beliau berkata, polemik berhubung pindaan Akta 355 itu melibatkan semua pihak termasuk berkaitan dengan bidang kuasa raja walaupun peruntukan itu khusus kepada masyarakat Islam sahaja.

“Masih ada pertikaian dan perbahasan yang hangat maka saya mohon untuk membuat huraian pada sesi akan datang selaras dengan peraturan mesyuarat 15/5,” jelasnya dalam sidang Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyambut permohonan Abdul Hadi itu.

“Saya izinkan usul ini disambung ke mesyuarat akan datang,” katanya.

Pindaan Akta 355 yang bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah itu bagi meningkatkan hukuman maksimum kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM200,000 dan 100 kali sebatan.

Untuk rekod, Rang Undang-undang persendirian meminda Akta 355 itu telah dipercepat di Parlimen pada 26 Mei lalu iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Walau bagaimanapun, Abdul Hadi pada hari terakhir sidang parlimen untuk sesi tersebut memohon perbahasan itu ditangguhkan pula ke sesi akan datang iaitu pada 17 Oktober. – Malaysia Dateline I 24 Nov 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *