Pemuda AMANAH Wilayah gesa turun Himpunan Aman Stop Oppression of Rohingya

20150613_asp001_0

Kurang sebulan yang lepas warga Rohingya di Rakhine, Myanmar diganyang lagi. Kampung mereka dibakar ranap dan hangus, sebahagiannya disiksa dan dibunuh, wanita-wanita pula dirogol.

Yang berjaya melepaskan diri terpaksa cuba menerobos sempadan negara-negara jiran, yang gagal pula, terperangkap ditengah lautan luas tanpa tujuan. Masyarakat antarabangsa menyifatkan ia berkali-kali lipat lebih dahsyat daripada apa yang dialami rakyat Palestin sejak sekian lama.

Pencabulan hak asasi dan kehormatan insani, penyiksaan dan pembunuhan kejam di luar batas kemanusiaan. Mereka adalah saudara seagama kita. Dan sabda Nabi, mafhumnya, “Bukan dari kalangan aku mereka yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin”.

Bahkan melewati soal ukhuwah Islamiah adalah persoalan kemanusiaan; rentas agama, bangsa dan sempadan negara. Jika bangsa Rohingya itu Kristian atau Hindu sekalipun, sebagai seorang manusia, kita wajib bangkit mempertahankan manusia lain daripada terus dizalimi. Nyawa seorang muslim tiada lebih mulia berbanding nyawa seorang bukan Islam.

Untuk itu, atas semangat ukhuwah Islamiah dan naluri kemanusiaan sejagat, saya selaku Ketua Pemuda AMANAH Wilayah menyeru sahabat-sahabat semua untuk turun ke Himpunan Aman Stop Oppression of Rohingya bagi menyatakan solidariti, rasa sedih yang amat dan marah yang membuak-buak terhadap tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan tentera Myanmar dan pelampau (yang mempergunakan) agama di sana ke atas bangsa Rohingya.

  • 25 November 2016, esok, selepas solat Jumaat.
  • Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak.

Atas nama persaudaraan Islam dan semangat kemanusiaan, kita jumpa di sana!

NIK ABDUL RAZAK

KETUA PEMUDA AMANAH WILAYAH
24 Nov 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *