Memorandum Pemuda AMANAH Nasional desak pembekuan hubungan diplomatik dengan Myanmar

 

19726f1f-ee41-43f5-ae0b-586d61dcbbd8

Telah berminggu lamanya Arakan terus dikepung dan pembunuhan demi pembunuhan dilakukan tentera Myanmar. Ribuan warga Rohingya, kanak-kanak, wanita dan orang tua terpaksa menyelamatkan diri dalam keadaan kiri dan kanan mereka tertutup rapat untuk bantuan luar.

Berdasarkan kepada operasi ketenteraan besar-besaran yang telah digerakkan di daerah Maungdaw dan merebak di seluruh Arakan, ‘genocide’ pada skala mega sedang berlaku.

Puluhan ribu askar Myanmar telah dikerah ke kawasan berkenaan menggambarkan seolah-olah Myanmar kini sedang berada dalam zon peperangan – memerangi kumpulan yang tidak berupaya dan bersenjata.

Pembakaran puluhan perkampungan dan ribuan rumah warga Rohingya termasuk masjid oleh tentara Myanmar sudah menjadi laporan media yang diketahui dunia. Jelas pembersihan etnik Rohingya sedang dilancarkan membabitkan tentera dan ekstremis agama yang dibekalkan dengan senjata.

Laporan bayi dibunuh dengan kejam dan dicampak ke dalam api yang marak membakar menunjukkan kezaliman tentera Myanmar sudah berada di tahap kemuncak.

Keadaan kini jauh lebih parah berbanding serangan pada 2012 kerana serangan ke atas kampung-kampung Rohingya kali ini dilancarkan bersama tentera yang lengkap bersenjata.

Atas maksud membantah pembunuhan beramai-ramai dan menolak sekeras-kerasnya keganasan ketenteraan yang dilakukan Myanmar, kami menggesa agar Kerajaan Malaysia:

1) Membekukan segera hubungan diplomatik dengan Myanmar

2) Memanggil pulang Duta Malaysia di Myanmar

3) Menghalau Duta Myanmar di Malaysia pulang ke negara mereka

4) Segera memanggil persidangan OIC

5) Menghantar tentera pengaman ke lokasi bergolak

Ketiga-tiga tindakan ini hendaklah berterusan hingga Myanmar menghentikan serangan ke atas etnik minoriti tersebut dan bertanggungjawab penuh atas jenayah yang telah mereka lakukan.

Sekian, terima kasih.

Sany Hamzan

Ketua Pemuda AMANAH Nasional
24 November 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *