Wanita Bersih 5.0 berarak ke Parlimen serah memo desak pembebasan Maria Chin

Diketuai bekas Presiden Majlis Peguam, Dato’ S Ambiga, kira-kira 1,000 penyokong Bersih yang terdiri daripada wanita berarak dan menyerahkan memorandum mendesak pembebasan tanpa syarat Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen pagi tadi, 23 November 2016.

Memorandum tersebut menuntut Maria dibebaskan segera daripada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menurut Shahidan, memorandum itu akan diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab. Kini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berada di Peru.

Berpakaian Baju Kuning Bersih 5, mereka berarak dari Padang Merbok kira-kira dua kilometer dengan membawa kain rentang ‘Wanita bergerak untuk Maria’ selain sepanduk seperti ‘Mansuh Sosma’, ‘Pilihanraya Bebas’ dan lain-lain lagi. Di sana, beberapa tokoh NGO dan pemimpin politik berucap sebelum bergerak ke Parlimen.

Perarakan itu dianjurkan oleh beberapa NGO dan rakan serta penyokong Maria Chin.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi amaran kepada penganjur perhimpunan membakar lilin di Dataran Merdeka yang sudah berlangsung dua malam berturut, agar mematuhi peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 atau berhadapan tindakan pihaknya.

“Ia tidak boleh berterusan… Mulai sekarang, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka, termasuk yang membakar lilin di Dataran Merdeka.

“Jangan fikir anda berkumpul untuk membakar lilin jadi tidak perlu memberi notis,” kata Khalid merujuk kepada himpunan nyalaan lilin diadakan di Dataran Merdeka untuk mendesak pembebasan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah.

Sementara itu, para penyokong Maria berikrar untuk mengadakan himpunan sedemikian pada setiap malam sehingga pemimpin Bersih itu dibebaskan.

“Lihatlah jika mereka masih mahu melakukannya. Berani buat, berani tanggung akibatnya,” Khalid memberi amaran.

Maria ditahan di bawah Sosma pada Jumaat alu, sehari sebelum Perhimpunan Bersih 5. Beliau disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan ditahan di bawah Sosma yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga 28 hari.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *