Segerakan usul royalti minyak dan gas di DUN Terengganu – Dr Syed Azman

Usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan negeri Terengganu.

Dato’ Yang Di-Pertua,

Saya Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok mohon mencadangkan; “Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu penamatan secara resmi perjanjian ‘royalti minyak’ diantara kerajaan negeri Terengganu dengan Perronas dan Kerajaan Pusat. Ia telah dimaklumkan secara resmi pada 25 September 2015 bahawa;

“Pihak Petronas tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada negeri Terengganu di bawah Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu”.

Ini berdasarkan terma ‘di dalam negeri’ bahawa; “kerajaan negeri Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil Wang Royalti kerana segala penemuan telaga minyak adalah di luar 3 batu nautika yang di ukur dari garis air surut persisiran pantai negeri”.

Dato’ Yang Di-Pertua,

Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana menurut tafsiran diatas, kerajaan Terengganu kini tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak & gas yang terletak diperairan negeri. Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di perairan Terengganu bukan lagi menjadi milik ‘sah’ kerajaan negeri Terengganu kerana kedudukannya di luar daripada 3 batu nautika.

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai kerana Negeri Terengganu telah meyumbangkan hasil minyak & gas kepada Kerajaan Persekutuan sejak hampir 40 tahun dengan pengeluaran hasil minyak dan gas bernilai ratusan bilion ringgit bagi sama-sama membangunkan ekonomi Negara kita tercinta. Hal ini dilakukan oleh kerajaan negeri dengan penuh beramanah mengambil semangat perjanjian bersama yang telah di tandatangani pada tahun 1975.

Namun, apakah wajar Royalti sebanyak 5% yang di terima oleh kerajaan Terengganu sejak dari tahun 1978 kini terbatal sepenuhnya dan hanya dianggap sebagai ‘Ihsan’ dan ‘dana khas’ dari Kerajaan Persekutuan?

Sedemikian apakah wajar perjanjian royalti minyak diantara kerajaan negeri Terengganu bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan Petronas yang ditandatangani sejak tahun 1975 lagi juga sudah di anggap sebagai terbatal.

Amat wajar Dewan yang mulia ini membincang serta menbahas isu yang amat penting ini kerana bermula dari tahun 1978 di bawah fasal 2 ‘Perjanjian Royalti’ seperti yang telah di persetujui oleh semua pihak, Kerajaaan negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran sulungnya sebanyak RM$5.7 juta dari pihak Petronas.

Perjanjian ini adalah sebagimana dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petrolium 1974, yang telah di luluskan oleh kerajaan pimpinan ayahnda Dato’ Seri, yang dikasihi Al-Marhum Tun Abdul Razak bin Husin di Dewan Parlimen pada 15hb. Nov. 1974. Al-Marhum menegaskan bahawa; “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerimaa 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas atau ejensi-ejensi ataaupun kontraktor-kontraktornya.”

Dato Yang Di-Pertua,
Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal kepentingan rakyat dan negeri Terengganu kerana berbanding dengan negeri Sarawak, kita di Negeri Terengganu kini telah kehilangan segala hak kita! Kebanyakan rakyat Terengganu pula terpaksa berhadapan dengan kekangan kehidupan yang amat perit sedangkan negeri Terengganu merupakan negeri pengeluar minyak dan pernah dikenali sebagai ‘Kuwait Malaysia’.

Kemelut ekonomi Terengganu juga sedang membelit seluruh kehidupan rakyat sehingga ke pundaknya. Rakyat Terengganu khususnya anak muda ramai tiada sumber pekerjaan yang tetap termasuk mahasiswa yang kini menjadi penganggur.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.
Yang Mengusulkan,

YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD,
Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok
Terengganu

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *