Guan Eng bentang usul tergempar di DUN Pulau Pinang, desak bebaskan Maria Chin

lim-guan-eng-b-650x340

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengemukakan usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) agar Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dibebaskan tanpa syarat dengan segera.

Dalam ucapan pembentangannya, Guan Eng mengecam keras penyalahgunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 yang digunakan ke atas Maria kerana ibu kepada tiga anak itu tidak pernah menggunakan kekerasan dalam perjuangannya, lapor Roketkini.

Malah, jelasnya, Maria bukanlah pengganas ataupun ahli politik, tetapi hanya seorang pemimpin pertubuhan sivil yang membuat lima tuntutan bagi membersihkan pilihan raya dan negara.

“Dewan yang mulia ini juga mengecam penahanan beliau tanpa bicara selama 28 hari dalam keadaan sel gelap dan diasingkan. Ia sangat tidak berperikemanusiaan serta mendesak agar beliau dibebaskan tanpa syarat dengan segera,” katanya di sidang DUN pagi tadi, 22 November 2016.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, jaminan telah diberi oleh kerajaan UmnoBN pada 2012 bahawa SOSMA tidak serupa dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kononnya ia akta khusus bagi mencegah keganasan dan ancaman pengganas atau ekstremis.

“Jaminan juga telah diberi (oleh kerajaan) bahawa SOSMA tidak akan disalahguna terhadap aktivis yang tidak bersetuju dengan kerajaan persekutuan BN ataupun untuk tujuan politik,” jelasnya.

Beliau berkata, perkara itu jelas digariskan di bawah Seksyen 4(3) SOSMA yang berbunyi, “Tidak ada mana-mana individu yang boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini kerana pendirian politik atau aktiviti politiknya.”’

“Mengapa pula Maria ditahan SOSMA bila perhimpunan berjalan lancar secara aman? Mengapa pihak pemimpin baju merah hanya direman 4 hari dan bukan lebih lama walaupun mereka mengancam nak gunakan keganasan?

“Menganggap seorang pendamai sebagai pengganas tidak lain tidak bukan adalah cuba menukarkan hitam dengan putih dan putih dengan hitam,” tegasnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *