Gara-gara #Tangkap MO1, Anis Syafiqah dan rakan berdepan tindakan UM

Seramai empat mahasiswa yang terlibat dalam Perhimpunan #Tangkap MO1 hari ini menerima ‘surat cinta’ yang kedua dari Universiti Malaya berhubung prosiding tindakan tatatertib ke atas mereka. Demikian dedah Jurucakap #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof dalam Facebooknya.

Selain beliau, tiga lagi rakan mahasiswa turut menerima surat pertuduhan dan prosiding (perbicaraan kes) yang sama hari ini ialah Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim Fazli dan Suhail Wan Azahar.

Kira-kira sebulan yang lalu, keempat-empat mereka menerima surat tunjuk sebab daripada pentadbiran pusat pengajian tinggi itu yang meminta mereka memberikan asalan menyertai perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu.

Menurut Anis Syafiqah lagi, empat orang rakan beliau yang lain turut mendapat surat prosiding kerana mengangkat plakad sewaktu Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menghadiri program Jelajah 1MDB ke kampus Universiti Malaya sebelum ini. Mereka ialah Ho Chi Yang, Hun Ti, Li Yang dan Jia You.

Katanya, pertuduhan yang dikenakan amatlah bertentangan dan langsung tidak berlandaskan Perlembagaan iaitu dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan).

Antara tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, beliau dituduh melanggar kod universiti pelakuan pelajar dengan menganjurkan perhimpunan tersebut, menyebabkan gangguan awam, serta mencemarkan nama baik universiti.

Jika didapati bersalah, mereka berdepan dengan hukuman antaranya diberikan amaran, didenda sebanyak RM200, digantung atau dipecat.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *