Enam wakil rakyat Pas mungkin diambil tindakan ekoran sertai Bersih 5.0

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, mana-mana ahli parti itu yang didapati menyertai perhimpunan Bersih 5.0 bakal berhadapan tindakan, jika pihaknya mendapat aduan.

Pada Perhimpunan Bersih 5.0 Sabtu lalu yang diadakan di sekitar Menara Berkembar KLCC dan hadapan Masjid Jamek Bandaraya, ramai ahli Pas turun padang bersama lebih 100,000 peserta Bersih dari seluruh negara menyatakan tuntutan kepada pilihanraya yang adil dan bersih.

Pas sebelum ini memboikot Bersih 5.0 dan menetapkan pendiriannya tidak menyokong perhimpunan aman tersebut dan melarang ahli-ahli serta pimpinannya hadir.

Ekoran perkembangan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, beliau sedia berhadapan sebarang tindakan disiplin kerana menyertai Bersih 5.0.

Mahfuz berkata tindakannya menyertai Bersih 5.0 adalah demi memperjuangkan kepentingan rakyat, bagaimanapun beliau menyerahkan keputusan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

“Apa yang saya buat adalah untuk rakyat. Saya menghadiri Bersih untuk rakyat Malaysia.

“Saya serah kepada jawatankuasa disiplin parti untuk buat keputusan. Terpulang kepada mereka menilai sama ada saya telah melakukan kesilapan,” jelasnya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Mahfuz turut berkata terdapat enam lagi wakil rakyat Pas yang lain dari Kedah berada di perhimpunan Bersih 5.0.

Katanya, Pas tidak mengeluarkan surat rasmi untuk menghalang ahli daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut, sebaliknya hanya membuat kenyataan umum sahaja.

Sebelum ini telah tersebar di media sosial beberapa gambar pemimpin dan wakil rakyat PAS yang turut serta dalam perhimpunan aman Bersih 5.0.

“Apa yang saya tahu dari kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan dalam Harakahdaily, Pas dan ahli-ahlinya tidak menyertai perhimpunan itu, tetapi tiada surat perkeliling rasmi mengenainya,” katanya.

Mahfuz mengulas kenyataan Presiden Pas yang berkata beliau akan menyerahkan kepada jawatankuasa disiplin untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, tiada keputusan dibuat sehingga hari ini berkaitan penyertai ahlinya pada perhimpunan Bersih 5.0.

Selain Mahfuz, antara wakil rakyat PAS yang menyertai Bersih 5 ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ustaz Ahmad Baihaqi; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mazian; ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa dan ADUN Anak Bukit, Ir Amiruddin Hamzah.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *