Ekoran Bersih 5.0, 11 tuntutan rakyat Sabah diserah kepada Musa Aman

KOTA KINABALU, 22 Nov: Momentum Bersih 5.0 diteruskan selepas berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai latar belakang rakyat pada perhimpunan aman Bersih5 Kota Kinabalu baru-baru ini.

Kelmarin, Bersih melakar sejarah baru di Malaysia apabila Bersih Sabah telah menghantar satu petisyen kepada Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Panglima Musa Hj Aman berkenaan 11 tuntutan untuk rakyat Sabah khususnya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih Sabah yang diketuai oleh Beverly Joeman menyerahkan Petisyen 11 tuntutan ini di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

“Sepanjang proses penyerahan 11 tuntuan tersebut, kami diminta untuk tunggu dan pada masa itu juga kami dikelilingi oleh pihak polis. Malah amatlah mendukacitakan bahawa kelibat Ketua Menteri Sabah tidak kelihatan langsung,” kata Beverly Joeman.

Disebabkan kegagalan untuk menyerahkan petisyen tersebut kepada Ketua Menteri, maka 11 tuntutan itu akhirnya diserahkan kepada Setiausaha Politik, Musa Aman iaitu Sdra Md Joh Wid.

“Harapan kami amatlah besar agar Md Joh dapat sampaikan kepada Ketua Menteri kerana ini adalah tuntutan orang Sabah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana ahli politik yang sentiasa ingin menggunakan platform Bersih untuk kepentingan diri mereka sendiri,” jelas beliau lagi.

Pertama: Kembalikan hak mutlak untuk kerajaan negeri Sabah memutuskan kelayakan anak jati Sabah mendapatkan Kad Pengenalan MYKAD tanpa melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakni Kerajaan Persekutuan seperti mana hak yang sama diberikan terhadap Sijil Kelahiran dan Sijil Kematian.

Kedua: Kurangkan birokrasi dan hipokrasi terhadap proses pengeluaran Mykad kepada Orang Asal Sabah. Proses yang terlalu ketat telah menyebabkan masih ramai Orang Asal masih menjadi ‘pelarian’ di negeri sendiri.

Ketiga: Usul penambahan autonomi kepada Sabah demi memartabatkan hak orang Sabah.

Keempat: Penyemakan semula MA63 di Dewan Rakyat (Parlimen). Usul ini sering ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri dengan alasan ianya tidak relevan.

Kelima: Kembalikan hak pemilikan tanah NCR kepada Orang Asal Sabah. Masih terlalu banyak kes mahkamah yang belum selesai terhadap isu ini dimana tanah-tanah NCR ini telah dijualkan kepada syarikat besar terutama dari Semenanjung bagi tujuan perladangan.

Keenam: Penilaian semula terhadap gaji minimum pekerja swasta Sabah. Ketidakadilan wujud terhadap hak Orang Sabah apabila kerajaan Persekutuan bertindak untuk menaikan gaji minimum pekerja di Semenanjung sebanyak RM1,000 berbanding Sabah RM920 sahaja untuk tahun 2016. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengumumkan penstrukturan gaji minimum ini pada tahun 2012 telah mengatakan bahawa penyelarasan gaji pekerja di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dikaji untuk mencapai satu gaji minimum yang sama dengan pekerja Semenanjung dalam tempoh dua tiga tahun. Namun, sehingga kini kajian tersebut masih belum dapat merealisasikan penyelarasan tersebut.

Ketujuh: Proses persempadanan semula yang adil dan berakauntabiliti untuk memberi hak mutlak rakyat Sabah menentukan masa depan mereka.

Kelapan: Menuntut agar proses pengundi tidak hadir yang inklusif, telus, dan berakauntabiliti untuk semua pengundi Sabah yang menetap, bekerja, atau sedang belajar di luar negeri.

Kesembilan: Memberi keutamaan kepada rakyat tempatan Sabah menentukan masa depan pentadbiran kerajaan negeri sendiri. Rakyat Sabah yang bekerja di luar negeri harus dibenarkan mengundi melalui undi pos tanpa perlu menukar alamat Mykad mereka. Begitu juga Pengundi dari penjawat awam yang berasal dari Semenanjung haruslah menjadi pengundi Pos bagi kawasan tempat kelahiran mereka walaupun mereka ditugaskan di Sabah.

Kesepuluh: Kebebasan berkempen dan akses media yang bebas untuk memastikan pengundi Sabah boleh membuat pilihan yang bermaklumat dalam pilihan raya.

Kesebelas: Menghapuskan pembelian undi dan sogokan dan penyalahgunaan kuasa dan aset kerajaan dalam pilihan raya umum dan negeri (Sabah) yang akan datang.

Bersih Sabah juga sependapat dengan Bersih 5.0 bahawa tanpa demokrasi yang kukuh, tuntutan untuk autonomi Sabah dan Sarawak tidak akan tercapai, dan sebaliknya penjajahan dalaman dan ekploitasi oleh golongan elit kapitalis dari peringkat persekutuan dan negeri akan berterusan memamah hak-hak orang Sabah.

“Selain itu, kami turut memberi respon mengenai beberapa kenyataan terbaru daripada pimpinan kerajaan Sabah mengenai Bersih. Malah kami juga mengajak Datuk Seri Salleh Keruak untuk berdebat secara terbuka.

“Ini kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan semasa lawatannya ke Kudat bahawa perhimpunan tersebut tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat.” jelas anak muda Sabah, Khairuddin Daud. – Oleh ANITA AWANG

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *