Bersih 5.0 bukti Amanah-PPBM mampu gerakan Melayu dalam Pakatan Harapan

Bersih 5.0 yang berlansung pada Sabtu lalu membuktikan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berjaya membawa penyokong di kalangan orang Melayu untuk turun bersama menjayakan himpunan aman itu, tegas Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Katanya, Bersih 5.0 baharu sahaja selesai memperlihatkan puluhan ribu orang Melayu turun menjayakan perhimpunan Baju Kuning itu dicampur jutaan orang Melayu lain yang menyokong dan bersimpati dengan Bersih 5.

“Syukur alhamdulillah mereka telah menyahut pelawaan terbuka Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Amanah untuk menjayakan perhimpunan tersebut.

“Tujuan saya menaikkan perkara ini bukan untuk mendabik dada. Tujuannya cuma hendak memberi kepastian kepada pengundi Melayu bahawa mereka tidak perlu takut pada Pakatan Harapan lagi,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda Sekreteriat Shura Ulama Asia Tenggara (SHURA).

Fakhrulrazi dalam kenyataannya menyebut kedua-dua parti itu sudahpun mewakili orang Melayu Islam serta mempertahankan kepentingan bangsa Melayu serta umat Islam di Malaysia.

“Tuduhan kononnya Pakatan Harapan adalah alat DAP terbukti sudah kecundang dan mereka yang menuduh semakin terkapai kapai. Mari kita maju ke depan dan meninggalkan mereka yang masih terbelenggu dengan politik jumud dan kaku mereka,” tegas beliau.

Pada Sabtu lalu, lebih 100,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri KLCC untuk bersama-sama dalam perhimpunan aman Bersih 5.0 yang dianggarkan jumlah penyertaan orang-orang Melayu meningkat berbanding Bersih 4.0 dan Bersih 3.0.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *