Sosma: Mahu Ahli Parlimen Malaysia desak Menteri KDN pinda Seksyen 4(5)

Pada 16 April 2012 Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Pekan Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (rujuk muka surat 5 – 6 Penyata Rasmi Dewan Rakyat D.R 16.04.2012), menyatakan dengan jelas seperti berikut:

Di bawah pindaan undang-undang ini, aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen ditafsir sebagai satu aktiviti yang dilakukan oleh seorang atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan perlembagaan. Secara mudahnya, jika ada mana-mana rakyat Malaysia sama ada individu, kumpulan atau parti politik berhajat merubah teras asas memerintah negara iaitu Demokrasi Berparlimen kepada misalnya pemerintahan yang bersifat teokratik, mereka haruslah menggunakan cara-cara yang diabsahkan oleh Perlembagaan Persekutuan yakni melalui peti undi untuk mendapat sokongan majoriti rakyat. Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa rupa bentuk kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat itu sendiri.

Adalah amat jelas Perdana Menteri Malaysia yang juga dikenali sebagai Malaysia Official 1 menyatakan bahawa aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen ditafsir sebagai satu aktiviti yang dilakukan oleh seorang atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan perlembagaan.

Kesalahan berkaitan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen diperuntukkan di Seksyen 124B, 124C, 124D, 124E, 124F dan 124J Kanun Keseksaan. Setelah hampir 5 tahun SOSMA berkuatkuasa sudah ramai warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan dan didakwa melalui SOSMA ini.

Terbaru Malaysia dikejutkan dengan penangkapan dan penahanan beberapa orang aktivis masyarakat yang terlibat dengan BERSIH. Sehingga tulisan ini ditulis, Puan Maria Chin Abdullah masih ditahan polis di bawah peruntukkan Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu percubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Kenapa Puan Maria Chin ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan? Apakah keganasan yang beliau lakukan? SOSMA hanya digunakan bagi tindakan keganasan. Itu suatu janji dari Perdana Menteri ketika membentangkan Akta tersebut. Tidakkah Polis dan Peguam Negara tahu dan faham segala peruntukkan dan tujuan penggubalan Akta ini?

Tindakan polis menangkap dan menahan Puan Maria Chin dan beberapa orang lain yang telah dilepaskan ialah suatu tindakan yang bercanggah dengan Akta dan Perlembagaan.

BEBASKAN SEGERA!

Kepada semua Ahli Dewan Rakyat (ADR), Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat hari ini di nombor 8 dalam senarai terbentang suatu usul daripada Menteri Dalam Negeri seperti berikut :

“Bahawa Majlis ini membuat suatu ketetapan menurut sub-seksyen 4(11), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 supaya subseksyen 4(5), Akta ini hendaklah terus berkuatkuasa bagi tempoh 5 tahun lagi mulai dari 31 Julai 2017”

Usul ini adalah suatu mengikut Seksyen 4 (11) Akta adalah untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua Majlis Parlimen untuk meneruskan kuatkuasa Seksyen 4 (5) Akta bagi tempoh 5 tahun lagi bermula 31 Julai 2017.

Seksyen 4 (5) memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk siasatan selama tempoh tidak lebih 28 hari.

Hari ini Puan Maria Chin dan beberapa orang lagi masih ditahan di bawah peruntukkan Seksyen 4 (5) ini yang kononnya untuk siasatan. Polis mempunyai kuasa menahan Puan Maria selama tidak melebihi 28 hari. Selama tempoh tersebut, mereka bebas melakukan apa saja.

Saya sebagai seorang warga negara Malaysia memohon seluruh ADR menolak usul Menteri Dalam Negeri tersebut dan seterusnya mendesak Kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri meminda Seksyen 4 (5) tersebut. Kuasa yang amat luas diberikan kepada polis ini telah menyebabkan polis menggunakannya secara tidak bertanggungjawab dan seterusnya memangsakan orang-orang yang ditahan.

BERANI BERUBAH – TERUS UBAH – MALAYSIA BARU

ZULHAZMI SHARIFF
Ahli Biasa Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Cawangan Taman Tun Dr. Ismail
Kuala Lumpur
21 November 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *