Najib Razak dustai rakyat guna SOSMA hanya untuk tangani keganasan

Perhimpunan BERSIH 5 yang diadakan pada 19 November lalu adalah satu kejayaan besar. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya sekali para penganjur dan para demonstran. Sekali lagi kita telah melakarkan sebuah kejayaaan dalam perjuangan panjang menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Para demonstran berhimpun dan berarak secara aman walaupun keselamatan mereka diancam oleh kumpulan baju merah dan perjalanan mereka disekat oleh pihak berkuasa.

Sekali lagi pemerintah gagal menghormati hak bersuara dan berhimpun dengan aman seperti yang termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan.

Malah penangkapan-penangkapan berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman BERSIH 5. Kita juga difahamkan oleh Menteri Dalam Negeri bahawa wujud senarai panjang mereka yang akan ditangkap serta ramai lagi aktivis-aktivis, mahasiswa dan ahli-ahli politik akan ditahan.

Begitulah keadaannya di negara kita ini. Para demokrat dipenjara, sang kleptokrat bermaharaja-lela.

Pihak pemerintah juga telah menahan tiga Ahli Parlimen; Saudara Tian Chua, Saudara Anthony Loke dan Puan Zuraida Kamaruddin dan seorang ADUN; Saudara Howard Lee. Mereka ditahan reman selama 2 hari.

Lebih memeranjatkan lagi adalah penahanan Pengerusi BERSIH Puan Maria Chin Abdullah dibawah SOSMA. Terang lagi bersuluh, pemerintah telah mendustai janji mereka untuk hanya menggunakan SOSMA dalam menangani aktiviti keganasan. Adakah pemerintah menanggap gerakan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil sebuah aktiviti keganasan?

Saya dengan ini mengecam sekeras-kerasnya penahanan para demokrat BERSIH 5 di bawah Ops Bersih yang dilakukan oleh pemerintah. Dan walaupun hampir kesemua tahanan baru sahaja dilepaskan jam 12 tengah hari tadi, kita tidak akan hentikan desakan sehingga Maria Chin Abdullah juga dibebaskan!

Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang, Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

21 November 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *