Bersih5 & LGBT: Nota rakyat bagi agamawan yang sempit pandangan

Kajian menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia sukakan bahan bacaan ringan, santai dan tidak berat untuk berfikir terhadap kandungannya. Bahkan ada yang menyebut, puratanya rakyat Malaysia dalam setahun hanya berjaya menghabiskan membaca 2 buah buku (dari kulit ke kulit) sahaja.

Gambaran ini hampir sama dengan perihal dunia politik dan kenegaraan. Kekalnya Umno dan BN melebihi 60 tahun memerintah Malaysia antara faktor besarnya, kerana masih ramai rakyat yang tidak bersedia mengikuti isu-isu besar yang berat dan memerlukan tenaga untuk berfikir seperti 1MDB, Tabung Haji, PKFZ, Sosma dan lain-lain. Ditambah pula dengan peranan media yang suka menenggelamkan hal penting dan mengangkat hal picisan semata-mata ingin mempertahankan kebobrokan sang penguasa.

Berbalik kepada Bersih 5.0 yang berjaya digerakkan 19 Nov kelmarin, kita sudah jangkakan, jika himpunan berlangsung aman dan tuntutan berjaya diluahkan, kebiasaannya akan muncul pihak yang mencari-cari kelemahan himpunan untuk diangkat sebagai isu besar samada pihak Umno, BN dan sekutunya atau sesiapa sahaja yang tidak berkenan dengan himpunan ini.

Buktinya jelas. Sehingga pagi ini, isu sekelompok anak muda mengibar bendera LGBT, beberapa peserta Bersih non Muslim memasuki premis judi dan memasuki gereja mereka dan beberapa perkara lain diangkat sebagai berita utama. Antaranya di page Arus Baru. Paling banyak dimainkan adalah isu LGBT dan ‘pelangi’nya itu.

Sebelum saya berikan pandangan dan timbulkan pertanyaan, sekali lagi saya paparkan 5 tuntutan Bersih 5.0 (lihat poster). Tujuannya supaya soalan berbentuk sindiran bodoh “PM baru dah tukar belum lepas Bersih?” terjawab. Tidak ada satu pun tuntutan Bersih untuk tukar PM selepas berhimpun. Yang kita mahu pilihanraya bersih dan PM khasnya dan regim Umno/BN umumnya berjaya diturunkan dalam PRU akan datang melalui PRU yang bersih dan adil. Paling penting, ada atau tidak 5 tuntutan Bersih 5.0 yang bercanggah dengan Islam?

Beberapa pandangan dan pertanyaan saya:

i – Penganjur BERSIH anjur himpunan menuntut PRU bersih (dan 4 tuntutan yang lain) atau mereka anjur himpunan LGBT? himpunan minum arak? himpunan masuk gereja?

Boleh atau tidak kalau anda anjur forum perdana ehwal Islam, ada peserta hadir berseluar pendek, tidak tutup aurat, berakhlak buruk, lalu saya katakan anda anjur program maksiat? anda promosi mungkar? anda redho kekufuran? Tentu TIDAK boleh. Kerana ia diluar kehendak anda. Jadi untuk apa anda pukul rata pada semua pihak seolah-olah kami ini redho dengan LGBT dan lain-lain mungkar? Atau anda beranggapan LGBT itu mungkar dan apa yang dilakukan oleh pemerintah terhadap rakyat pada hari ini bukan mungkar serta tidak perlu dibising-bisingkan?

ii – Bersih menjemput semua rakyat yang ingin menuntut perubahan dan menentang kezaliman untuk hadir. Apakah yang hanya merasai peritnya cukai GST yang celaka ini, sakitnya hati membayar tol dan tambang yang makin mahal dan marahnya dengan kos keperluan asas pada hari ini, dirasai oleh orang-orang baik, soleh, ustaz, ustazah, ahli JIK dan mereka yang membaca Al-Quran sahaja? Pelaku atau penyokong Lesbian, Gay, Bisexual dan Trasgender (LGBT), orang fasiq, non Muslim, yang berparti dan tidak berparti tidak rasai perit ini? Mereka terkecuali dari GST dan segala bebanan?

Kaki maksiat dan orang fasiq mula membenci kezaliman pemerintah itu sudah lebih baik dari mereka terus melawan Allah dan dalam masa diam atau membantu kezaliman! Bolehkah anda anjur himpunan lawan kezaliman dan promosi himpunan dengan tawaran “semua orang soleh diminta hadir dan kaki maksiat adalah dilarang”?

iii – Sewaktu anda memasuki pilihanraya, anda perlukan undi dari semua pihak untuk menang dan bila menang, sekian banyak kebaikan anda dapat lakukan termasuklah mendekati kaki maksiat yang pernah mengundi memenangkan anda. Menang pilihanraya dengan adil adalah perkara baik. Menang pilihanraya untuk hentikan kezaliman juga benda baik. Boleh anda soal pengundi “kamu LGBT? pelacur? Quran khatam? Kami tidak terima undi anda!”

iv – Gambarannya seolah-olah “hadir Bersih, redho LGBT, setuju mungkar”. Kalau begitu, anda bersetuju kalau semua mereka yang tidak hadir, kami katakan redho dengan penindasan ke atas rakyat pada hari ini? Tentu TIDAK MAHU. Saya sendiri pun yakin yang tidak hadir ada pendiriannya yang tersendiri, bukan kerana mereka redho kemungkaran pemerintah. Turun Bersih adalah keyakinan sendiri terhadap cara dan jalan terbaik yang perlu dipilih untuk mencegah mungkar pemerintah. Mungkin orang lain ada cara dan jalannya yang lebih baik.

v – Islam larang hadiri program maksiat termasuk kenduri. Itupun jika benar-benar kita tahu ada penganjuran maksiat di dalamnya. Tidak wajib hadir jemputan itu. Kalau sekadar andaian-andaian berkemungkinan berlaku begitu, berlaku begini, sampai bila pun kita tidak akan dapat hadiri kenduri. Jadi tolonglah bezakan antara sengaja menganjur maksiat dan maksiat diluar kawalan penganjur!

Sebutkanlah 1 sahaja himpunan atau demonstrasi di Malaysia yang TIDAK ADA langsung mereka yang berakhlak buruk? Tentu ada. Tidak berhimpun membantah ada mudarat (kezaliman terus bermaharajalela) dan berhimpun membantah pun ada juga mudarat yang mungkin berlaku (maksiat segelintir pihak). Ketika itu fahamlah kita konsep dari qaedah Fiqh: “Ambil mudarat paling ringan bila bertembung antara dua kemudaratan”.

Akhir, nilai-nilai baik dalam himpunan cukup banyak jika mahu diangkat sebagai berita. Sayangnya entah kenapa, yang buruk diangkat sehingga 5 tuntutan Bersih anda diamkan! Dari orang ramai tidak tahu pun tentang LGBT, anda tolong mempromosinya setiap hari! Tahniah!

Peserta Bersih tidak rempuh anggota keselamatan, jentik pun tidak. Mereka bawa bunga berikan pada polis. Sebaik sahaja azan Zohor, penganjur meminta peserta Muslim pergi solat Zohor dulu di KL Sentral, kemudian hadir semula. Adam Adli tenangkan seorang tua yang emosi untuk terus hadapi polis (videonya sudal viral) dengan bahasa “pakcik, kesabaran kita atasi segala-galanya”. Saat himpunan berlangsung petugas-petugas ke sana ke mari membawa plastik sampah untuk kegunaan peserta sehingga tamat himpunan. Banyak nilai murni lagi. Dimana anda dalam pemberitaan nilai-nilai murni ini???

Anda baca hadith Rasulullah s.a.w: “Orang mukmin yang bercampur gaul dengan orang ramai dan dia bersabar dengan kejahatan mereka, ia mendapat pahala yang lebih besar dari orang mukmin yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak pula bersabar dengan kejahatan mereka”. (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Di mana anda ketika membaca hadith ini sehingga merasa cukup suci diri dan langsung tidak mahu menganggap rakyat Malaysia pelaku maksiat sebagai mad’u yang perlu terus didekati baik dalam himpunan atau selepas himpunan? Atau anda yakin benar mereka pasti ke neraka dan syurga milik mutlak untuk anda? Laungan ‘Nahnu Du’ah wa lasna Qudhah’ (kami penyeru, bukan penghukum) anda buang di sungai mana?

Sekadar pandangan dan pertanyaan untuk difikirkan.

Terima kasih.

Abi Sumayyah
Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
21 Nov 2016 / 21 Safar 1438

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *