Anak muda Melayu berani bangkit bersama Bersih5 – Mohamad Sabu

Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengucapkan syabas kepada anak-anak muda Melayu yang berani turun padang menjayakan Bersih5 di Kuala Lumpur semalam, Sabtu 19 November.

Beliau berkata, sebagai orang lama terlibat dalam himpunan aman, sejak berada dalam Abim, Pas dan sekarang dalam AMANAH, beliau dapati himpunan Bersih 5 semalam mencatat kehadiran anak muda Melayu paling ramai.

“Rata-rata yang saya temui dalam lingkungan umur 20 ke 30 tahun. Mereka membanjiri Dataran Maybank, Bangsar, KLCC, Masjid Jamek dan beberapa tempat lain.

“Memang sangat jarang saya melihat kehadiran anak muda sebegini ramai sekali,” tegas beliau dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily.

Beliau bekata, kehadiran kaum Tionghua dalam mana-mana himpunan aman kebelakangan ini sangat ketara sekali memang diakui dan tidak dapat dinafikan.

Namun ujarnya, kehadiran ramai Melayu Bumiputra semalam mengimbangi keadaan itu sekaligus menunjukkan himpunan Bersih5 adalah himpunan rakyat Malaysia.

“Saya yang berpengalaman berada dalam himpunan aman berasa kagum dan berterima kasih amat atas keberanian anak muda melaungkan slogan untuk kepentingan rakyat dan negara,” ujar beliau yg juga antara pengasas Bersih.

Mohamad Sabu mengucapkan syabas kepada semua kerana dapat hadir dengan tenang dan bersemangat sepanjang himpunan untuk menuntut pilihan raya bersih dan kerajaan berintegriti.

Anak-anak muda tegasnya, kini sudah mulai sedar merekalah yang akan memikul tanggungjawab untuk membela nasib generasi sekarang dan akan datang.

“Sesungguhnya kehadiran Melayu dan kaum-kaum lain semalam sangat melegakan saya yang sudah veteran ini,” kata beliau lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *