Lagu Negaraku akhiri Bersih5, Aishah dendangkan Bahtera Merdeka

Perhimpunan Bersih5 yang sangat berjaya berbanding perhimpunan-perhimpunan yang lalu, berakhir kira-kira jam 5.30 petang tadi, Sabtu 19 November 2016. Kira-kira 50,000 yang membanjiri sekitar Menara KLCC yag tersergam indah itu mengumandangkan lagu Negaraku.

Bersih5 gagal diadakan di Dataran Merdeka setelah dihalang pihak berkuasa dengan menutup lebih 50 batang jalan menuju tapak perhimpunan dan akhirnya mereka beralih ke kawasan berhampiran bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas.

Bersih5 dianjurkan untuk mendesak kerajaan melakukan perubahan sistem pilihan raya dan penambahbaikan demokrasi itu. Ucapan penutup yang sepatutnya disampaikan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah tidak dapat diadakan setelah tokoh NGO itu ditahan polis semalam.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan kepada orang ramai. Turut sama berucap Tan Seri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Dato’ Ambiga, Salahuddin Ayob, Mukhriz Mahathir dan ramai lagi.

Menara berkembar Petronas KLCC itu pernah menempatkan pejabat Mahathir sewaktu beliau berkhidmat sebagai Penasihat Petronas.

Dalam perkembangan berkaitan, seperti selalu himpunan Bersih turut mendapat perhatian di kalangan artis di negara ini sama ada secara langsung atau tidak.

Menurut pemerhatian sederhana Malaysiakini sekurang-kurangnya tiga artis menunjukkan – atau membayangkan – mereka mengikuti perkembangan terkini himpunan hari ini.

Paling ketara ialah penyanyi popular yang juga tokoh Parti Amanah Negara (AMANAH), Aishah Ariffin. Penyanyi Cinta Beralih Arah itu dilihat bukan saja hadir dalam perhimpunan BERSIH5 malah turut diberi peluang mendendangkan lagu.

Ketika suasana hangat dengan keghairahan peserta berbaju kuning Aishah menyampaikan lagu Bahtera Merdeka di Bangsar.

Ia sekali gus menaikkan semangat peserta BERSIH5 yang turun ke jalan raya untuk mendesak reformasi dalam sistem pilihan raya negara, selain memperkasa demokrasi berparlimen.

Aishah pernah aktif bersama PAS dan menjadi calon parti itu dalam pilihan raya umum lalu. Bagaimanapun selepas kumpulan sederhana dalam parti itu diketepikan, Aishah menarik diri dan menyertai AMANAH.

Seorang lagi artis yang memberi reaksi kepada Bersih5 ialah pelakon Susan Lankester. Menggunakan dialog popularnya dalam filem Mekanik Susan menulis di Twitter: “Orang Putih ke, Orang Hitam ke, Orang Chocolate ke, Orang Kuning ke, KITA SEMUA ORANG MALAYSIA. A peaceful rally. Stay strong. #Bersih5”.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *