Anak Fadzil Noor gesa rakyat turun Bersih 5, semarakkan semangat nasionalime

Walaupun sudah 59 tahun merdeka daripada penjajahan, negara hari ini masih tidak berada dalam keadaan yang stabil. Kepincangan politik, krisis kepimpinan, kegawatan ekonomi, salah urustadbir, pencabulan hak asasi dan sistem demokrasi semakin meruncing dan genting di bawah pemerintahan UMNO BN. Rakyat masih tidak dapat menikmati erti kemerdekaan sebenar.

Skandal 1MDB yang menjadi perhatian dunia adalah kemuncak korupsi dan penyelewengan sang pemerintah UMNO BN. Hutang lebih RM50 bilion ringgit 1MDB ditanggung rakyat jelata sedangkan tiada faedah dapat dinikmati daripada syarikat milik rakyat ini.

Tuduhan-tuduhan terhadap penyelewengan oleh MO1 yang juga Perdana Menteri walaupun disokong dengan bukti yang konkrit, gagal dinafikan. “Machai” dan “pemakan dedak” Perdana Menteri kini diam seribu bahasa kerana tidak mampu lagi membodohkan diri bagi menyelamatkan nama baik MO1 yang teruk tercedera.

Skandal 1MDB boleh mengancam kedaulatan negara. Bagi tujuan membayar hutang 1MDB, aset-aset seperti syarikat janakuasa elektrik EDRA dan tanah-tanah Bandar Malaysia terpaksa dijual kepada syarikat milik negara China serta kerajaan terpaksa menganugerahkan projek pembinaan laluan keretapi Pantai Timur (ECRL) kepada kuasa asing baru dunia ini dengan harga yang berlebihan bagi memastikan hutang 1MDB dapat dijelaskan. Nah, sekali lagi rakyat akan menanggung hutang RM55 bilion ini.

Demi menyelamatkan kerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyalahgunakan kuasa dengan mengambil pelbagai tindakan tidak demokratik termasuk penukaran Peguam Negara, Gabenor Bank Negara dan pasukan penyiasat SPRM.

Institusi demokrasi seperti pasukan Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara disalahgunakan untuk menangkap dan mendakwa pengkritik dan penentang penyelewengan Perdana Menteri.

Malang juga bagi negara apabila penjenayah yang bersekongkol dengan Perdana Menteri dilihat kebal dan dibiarkan bebas berbelanja mewah menggunakan wang rakyat. Tanpa mempedulikan keluhuran perlembagaan dan hak Yang Di-Pertuan Agong, Akta Majlis Keselamatan Negara diluluskan bagi memusatkan kuasa pengisytiharaan darurat ke atas tangan diktator ini.

Akibat korupsi dan pembaziran, ekonomi negara semakin gawat. Hutang negara mencecah RM 800 bilion. Nilai matawang negara jatuh merudum. Rakyat dipaksa mengikat perut dan ditekan dengan kenaikan kos sara hidup. Sesungguhnya, gst itu benar, kenaikan harga barang itu benar dan potongan subsidi pendidikan, kesihatan dan minyak itu benar. Derita yang ditanggung rakyat kini harus dihentikan.

Sistem pemerintahan yang korup dan zalim ini perlukan perubahan. Rakyat yang berkuasa mengubahnya. Suara rakyat suara keramat. Malaysia perlu diselamatkan. Maka, rakyat tiada pilihan lain selain menuntut satu sistem dan amalan pilihanraya yang bersih, adil dan saksama.

Semangat nasionalisme yakni cintakan negara perlu disemarakkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia. Semangat nasionalisme terbukti mampu menggerakkan massa mengusir imperialisme. Kerna cintakan negara, jutaan rakyat Turki keluar ke jalan raya mematahkan kudita.

Semangat sebegini mampu menggerakkan jutaan rakyat Malaysia pula untuk turun ke Dataran Merdeka Sabtu ini sebagai tanda protes terhadap kebobrokan Umno-BN. Negara ini milik kita semua melangkaui sempadan agama dan bangsa.

Anak muda harus bangkit mempertahankan hak dan kedaulatan negara ini daripada terus dicabuli dan diancam akibat salahurus pentadbiran kleptokrasi. Tegakkan keadilan demokrasi. Tolak pemerintah korupsi. Ayuh!!!Turun demontrasi.

Perjuangan menentang kezaliman adalah satu jihad yang paling mulia. Mempertahankan hak dan kedaulatan negara juga adalah satu kewajipan jihad. Bangkitlah bersama membina Malaysia baru yang dikongsi bersama secara adil dan makmur.

Ambillah semangat pejuang-pejuang nasionalis pada era kemerdekaan seperti Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestaman dan ramai lagi sebagai inspirasi semangat juang serta cinta akan negara sebagai pemangkin jiwa dan raga kita untuk melakukan perubahan.

Justeru, jadikan himpunan Bersih5 sebagai langkah sulung kita ke arah menggerakkan massa menuntut perubahan melalui pilihanraya umum ke-14 kelak.

5 Tuntutan Bersih termasuk pilihanraya bersih dan adil, kerajaan yang bersih, hak untuk membantah, mempertahan demokrasi berparlimen dan memperkukuhkan Sabah dan Sarawak adalah tuntutan inklusif ke arah pemulihan urustadbir, demokrasi dan keadilan sosial yang harus didokong bersama.

Ayuh!!!Semarakkan semangat nasionalisme untuk pembentukan Malaysia baru yang merdeka daripada korupsi, salahguna kuasa, kezaliman dan penindasan.

#jombersih5

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda
Amanah Nasional
18 November 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *