Trump satu realiti, manusia paling berkuasa di dunia tegas Dr Mujahid Yusuf

Trump satu realiti, manusia paling berkuasa di dunia tegas Dr Mujahid Yusuf

Donald Trump sebelum muncul sebagai calon Presiden Amerika adalah seorang tokoh korporat dan billionair. Ketokohannya jarang dikaitkan dengan kepimpinan politik tetapi dikenali sebagai selebriti dalam dunia hiburan program realiti ‘The Apprentice’.

Peribadi Donald Trump sering mengundang kontroversi khususnya dakwaan gangguan seksual terhadap wanita dan sikap sexistnya. Selain itu, dalam serangan kempen Hillary terhadap Trump, beliau juga dituduh mengelak cukai dan menindas pekerjanya.

Namun di sebalik kemunculan Trump sebagai ‘manusia paling berkuasa di dunia’ masyarakat global masih tertanya-tanya bagaimana Trump boleh menang?

Untuk menjawab soalan itu, yang lebih utama diajukan ialah bagaimana Hillary Clinton boleh kalah? Soalan ini relevan kerana tumpuan media dan pembanci ialah kepada Hillary sebagai calon presiden wanita pertama yang berpengalaman manakala Trump adalah calon tidak berpengalaman dan jahil tentang dasar luar negara dsb.

Hillary lebih tertumpu kepada mahu menjadi wanita pertama sebagai Presiden Amerika dan kerana itu dilihat sebagai ingin mencapai rekod peribadi daripada menggarap isu yang lebih menyinggung kehidupan harian para pengundinya.

Kedua, Hillary tertekan mempertahankan parti Demokrat sebagai penyandang selama 8 tahun, justru memberi ruang lebih selesa kepada Trump selaku pencabar mengkritik ‘kegagalan’ Demokrat yang menyebabkan kesengsaraan rakyat biasa Amerika.

Ketiga, Hillary sukar mempertahankan dasar perjanjian perdagangan antarabangsa seperti TPPA dan NAFTA. Trump menyerang dasar perjanjian perdagangan antarabangsa ini yang padanya pro masyarakat perniagaan di atas kos pelebaran kesenjangan pendapatan rakyat biasa.

Lagipun kempen Hillary banyak terikut dengan rentak serangan Trump yang pandai menimbulkan keraguan kepada kejayaan Demokrat dalam dasar-dasar ekonominya. Ini menimbulkan tarikan kepada pengundi kelas menengah dan pekerja yang merasai dasar Demokrat tak banyak membantu mereka.

Strategi kempen Trump melebarkan sikap anti-establishment dengan retorik Amerika yang melihat ke dalam serta menimbulkan ketakutan terhadap ‘orang luar’ dari pendatang yang ‘mengancam’ gaya hidup rakyat Amerika dan kenikmatan Amerika selama ini. Ketakutan ini agak menarik minat kelompok atasan ‘white’ dan pengundi konservatif.

Memikirkan apa yang dijanjikan oleh Trump dalam dasar luarnya sudah cukup membimbangkan masyarakat dunia khususnya negara Latin Amerika dan negara Islam. Serangan Trump kepada ‘pendatang’ Mexico/negara Latin lain dan sikap prejudisnya kepada Muslim yang perlu ‘penapisan keselamatan’ demi memerangi ‘home-ground terrorism’ mewajarkan kerisauan ini.

Israel menyatakan kemenangan Trump bermakna “..kita boleh lupakan isu negara Palestine..” Manakala Presiden Iran Rouhani mengingatkan Trump agar tidak merunding-semula isu nuklear Iran yang semasa Obama menamatkan sekatan ke atas Iran.

Negara Islam lain masih menunggu khususnya di Timur Tengah, apakah dasar keseimbangan kuasa mengekalkan Israel yang akan dilaksanakan oleh Trump? Bagaimana hubungan dengan Russia yang akan memberi kesan kepada krisis Timur Tengah? Bagaimana China akan berinteraksi dengan dasar hubungan Sino-Amerika? Bagaimana sikap Amerika bawah Trump pada rakannya di Asia Tenggara yang berpaling ke China seperti Filipina dan Malaysia?

Ironinya, Obama tidak dapat memenuhi kesemua manifestonya semasa kempen pencalonan presiden seperti menutup Guantanamo dan menarik diri dari Iraq dsb. Apakah Trump dan retorik anti-TPPA, anti perjanjian Paris tentang climate change dan dasar memerangi keganasan akan dikompromi dengan realiti masyarakat antarabangsa dan realitinya sebagai Presiden sebuah kuasa besar dunia?

Trump ada dua bulan lagi sebelum masuk ke Pejabat Oval. Seperti Obama dia akan berhadapan dengan realiti negara yang mungkin tidak mudah memberi jalan kepada retorik kempennya. Selamat datang Mr Trump ke alam realiti, bezanya, ia bukan program TV tetapi memerintah negara kuasa besar dunia!

DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden Amanah

10 November 2016

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *