Gerakan Media Merdeka seru hormati hak petugas media sempena Bersih 5

Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menyeru semua pihak yang menyertai perhimpunan Bersih 5, supaya menghormati hak semua petugas media yang membuat liputan.

Seruan ini dibuat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terhadap petugas-petugas media yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada pembaca dan orang awam yang lain.

“Kami ingin menyeru semua pihak untuk ingatan betapa petugas media hanyalah melakukan tugas dan tidak seharusnya dilibatkan dengan aksi dari emosi yang lain.

“Selain itu petugas media turut dinasihat agar sentiasa berpegang kepada etika kewartawanan sepanjang menjalankan tanggungjawab,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut mengimbau kembali insiden kekasaran yang pernah berlaku terhadap petugas media oleh beberapa pihak dalam perhimpunan Bersih 3 pada tahun 2012 lalu.

Selain insiden itu, GERAMM turut menyatakan kekecewaannya terhadap siri-siri insiden yang tidak baik terhadap wartawan dalam beberapa perhimpunan pra Bersih bulan ini melibatkan kumpulan berbaju merah.

“Kami dengan ini berharap semua pihak dapat menjaga dan terus memperjuang kebebasan media dan laporan bertanggungjawab dalam ruang demokrasi yang sihat,” ujarnya.

Dalam perkara berkaitan, GERAMM turut menyatakan rasa kesal apabila KiniTV dan pihak pengasas bersama Malaysiakini Steven Gan diheret ke mahkamah hari ini kerana dituduh menyiarkan kenyataan jelik seorang ahli politik.

“Difahamkan, pertuduhan hari ini juga dibuat setelah pihak KiniTV bersetuju untuk memadamkan kenyataan yang didakwa menyinggung perasaan, satu langkah regresif dalam usaha memberi tekanan kepada media,” kata kenyataan itu lagi.

GERAMM dahulu dikenali sebagai Gerakan Media Marah adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *