Amaran KSN jangan sertai Bersih 5 tidak sah, tegas bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan

Amaran KSN jangan sertai Bersih 5 tidak sah, tegas bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan

Seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan membidas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang memberi amaran kepada penjawat awam daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 5 mahupun Baju Merah esok.

Datuk Gopal Sri Ram berkata kenyataan itu sebagai tidak berperlembagaan dan adalah hak perlembagaan penjawat awam untuk perhimpunan selagi ini tidak mengganggu tugas profesional mereka.

“Penyertaan dalam perhimpunan adalah hak yang dijamin di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan sebarang sekatan ke atasnya adalah tidak sah,” kata Sri Ram yang dipetik portal Free Malaysia Today.

Ali semalam berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang sekiranya gambar mereka terlibat dalam perhimpunan tidak sah itu tersiar dalam mana-mana media.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, mereka yang didapati terlibat dalam perhimpunan akan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemotongan gaji atau buang kerja.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan penjawat awam, pelajar universiti dan ahli akademik ada hak untuk berhimpun secara aman.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata ia akan menjadi pelanggaran terhadap Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan jika hak kebebasan berhimpun secara aman disekat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan amaran Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menghalang guru menyertai perhimpunan pada Sabtu ini di Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar lain.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa memberi amaran kepada penjawat awam supaya tidak menyertai perhimpunan itu atau berdepan pemotongan gaji atau pemecatan, bergantung pada tahap penyertaan.

“Suhakam mengulangi lagi iaitu menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), semua rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,” katanya dalam satu kenyataan.

Razali berkata sementara hak untuk mengadakan demonstrasi balas perlu dikekalkan, polis dan pihak berkuasa perlu memastikan tindakan peserta tidak berubah menjadi ugutan dan merusuh.

“Maka tanggungjawab polis untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat menyatakan kedudukan dan pendapat mereka secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata Suhakam menyokong usaha polis menunjukkan disiplin dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

“Ini ialah ciri kematangan politik,” katanya.

Selain itu, katanya Suhakam akan memantau perhimpunan berkenaan dan jabatan aduannya akan menerima laporan daripada orang awam.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *